GISBH: Ada anak di ‘bin’ kan Abdullah kerana tak tahu status

Sebahagian besar ibu bapa kepada 392 kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang diselamatkan dari 20 rumah amal dalam Op Global baru-baru ini, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata bagaimanapun, kesemua individu masih belum tampil untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya ada ibu bapa yang tidak mengetahui anak mereka diselamatkan dari rumah amal yang diserbu.

“Selain itu, ada juga ibu bapa yang tidak mengakui itu anak mereka memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa mereka adalah anak yatim.

“Siasatan juga mendapati, sebahagian kanak-kanak ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah yang mana mereka tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan sama ada anak mereka atau tidak,” katanya dalam sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata daripada keseluruhan 402 kanak-kanak diselamatkan pada 11 September lalu, seramai 10 kanak-kanak adalah orang kelainan upaya (OKU) dan pengidap autisme dan sudah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaik saringan dibuat.

“Berikutan itu, hanya 392 kanak-kanak ditempatkan di PULAPOL selepas itu dan daripada jumlah itu, 149 orang mangsa kanak-kanak berumur satu tahun hingga 10 tahun diberikan perintah jagaan sementara.

“Perintah jagaan sementara itu diselia oleh JKM di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001 dan telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan,” katanya.

Sementara itu, katanya baki seramai 243 kanak-kanak lagi masih ditempatkan di PULAPOL KL dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai proses pemulangan semula anak-anak yang diselamatkan sekiranya dituntut oleh ibu bapa, Razarudin berkata terdapat dua fasa saringan akan dijalankan terlebih dahulu.

“Pertama, pihak polis akan merujuk ke pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekiranya kanak-kanak itu mempunyai kad pengenalan atau MyKid untuk memastikan ibu bapa itu adalah penjaga sah.

“Pada peringkat kedua, kita akan jalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selain membuat siasatan lanjut mengenai kemampuan ibu bapa itu menjaga dan tiada pengabaian berlaku ketika anak itu ditinggalkan di rumah amal,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*