Kes GISB: Agong titah PDRM jalankan siasatan menyeluruh

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Sultan Ibrahim bertitah baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di dalam media massa berkaitan rumah amal berkenaan.

“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah seri paduka baginda kepada Royal Press Office hari semalam.

Pada 11 Sept lalu, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan di mana terdapat dakwaan berlaku kes liwat membabitkan penghuni rumah berkenaan.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata polis turut menahan 171 orang dalam operasi yang dijalankan dari jam 6 pagi hingga 11 pagi di rumah amal yang dipercayai dikendalikan GISBH.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Ali mengakui terdapat kejadian terpencil kes liwat berlaku dalam organisasi itu pada masa lalu.

Nasiruddin berkata kes-kes berkenaan telah ditangani secara dalaman kerana GISBH sedar ia merupakan kesalahan undang-undang.

Bagaimanapun, dia tidak memberikan perincian lebih lanjut mengenai kes liwat tersebut.

Razarudin hari ini memaklumkan sebanyak 96 akaun yang dikaitkan dengan syarikat itu telah dibekukan untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.

“Justeru Sultan Ibrahim, bertitah menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*