Demi peminat dan Konsert Tsumawi 20th, Mawi korbankan rambut panjang disimpan tujuh tahun lalu

Demi peminat dan Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in KL tahun depan, penyanyi Mawi sanggup mengorbankan rambut panjang disimpannya sejak tujuh tahun lalu.

Dilakukan sendiri oleh isterinya, isterinya, Ekin Rahmat, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 43, berkata, dia reda dan tidak menjadi masalah demi konsert solo keduanya itu.

“Kalau tanya perasaan, tengok anak saya Cahaya Malaika sedih, saya juga begitu. Imej botak ini sudah sinonim untuk saya sejak ceburkan diri dalam industri hiburan.

“Disebabkan konsert ini, saya rasa tak mengapa kalau berkorban sikit. Bukan teruk sangat pun dan imej ini memang kena kekal sampai ke hari konsert,” katanya pada sidang media Konsert TsuMawi 20th di sini.

Tambah juara Akademi Fantasi 3 (AF3), dia mengakui pernah mempunyai niat untuk membotakkan semula kepalanya sebelum ini.

“Isteri dan keluarga kerap bertanya, tetapi saya bertahan dengan pendapat dan prinsip saya untuk kekal berambut panjang.

“Rupa-rupanya hari ini saya botakkan kepala. Tak rancang pun, tetapi sudah terjadi,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Mawi memberitahu dia mula menyimpan rambut panjang sekitar tahun 2017 bagi menjayakan wataknya dalam filem Munafik 2 arahan pengarah, Syamsul Yusof.

“Saya bela rambut sejak 2017, sudah tujuh tahun. Jadi, sepanjang saya berambut panjang, ramai yang tak puas hati.

“Pada asalnya, saya bela rambut ini sebab filem Munafik 2. Waktu itu, Syamsul minta saya simpan rambut panjang tetapi tak sangka pula saya sayang nak potong.

“Ada yang kata tak suka terutamanya apabila berjumpa peminat dalam kalangan golongan berusia tetapi saya senyum sahaja,” ujarnya.

Pada sidang akhbar hari ini, Ekin turut ditemani Cahaya Malaika sebelum potongan rambutnya dikemaskan oleh tukang gunting profesional.

Sekadar info, Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in KL akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Aduh Saliha itu menyifatkan konsert tersebut sebagai hadiah istimewa buat para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kariernya.

“Ini merupakan hadiah untuk peminat dan sebagai tanda saya masih berada dalam industri nyanyian. Saya gembira akhirnya berjaya merealisasikan konsert solo sendiri setelah sekian lama tidak berada di atas pentas besar.

“Pada dasarnya saya mahu meraikan ulang tahun ke-20 bergelar penyanyi.

“Sebelum ini sudah ada perancangan dilakukan tetapi belum diizinkan-Nya. Hanya baru sekarang akan direalisasikan,” kongsinya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*