Pengarah, ketua cawangan JPJ berdepan tindakan jika tak buka kaunter

Pengarah dan ketua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berdepan tindakan tegas jika membiarkan kaunter perkhidmatan tidak dibuka atau bawah pengawasan sewajarnya.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata perkhidmatan kaunter efisien amat ditekankan kerana fokus utama jabatan di bawah kendaliannya untuk menambah baik sistem penyampaian kepada orang ramai.

“Fokus kita ketika ini adalah perkhidmatan di kaunter dan perkara ini turut ditegaskan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar yang mahu setiap kaunter tidak dibiarkan tanpa pengawasan atau daripada lima yang ada, hanya dua kaunter dibuka.

Jadi, mana-mana pengarah negeri dan ketua cawangan tidak menjalankan tugas dengan baik dan kaunter tidak dibuka, mereka akan diambil tindakan, katanya berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Pengangkutan sempena lawatan kerja ke JPJ Selangor di sini.

Hadir sama Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Aedy Fadly berkata, sebagai jabatan kerajaan berusia 78 tahun, anggota dan pegawai JPJ sepatutnya sudah matang dan memahami kehendak serta keperluan orang awam apabila berurusan di kaunter.

Bagi memastikan perkhidmatan kaunter di tahap terbaik, beliau bersama pengarah dari ibu pejabat Putrajaya akan melakukan lawatan mengejut melalui penyamaran bagi melihat sendiri penugasan kakitangan di semua cawangan JPJ seluruh negara.

Lepas ini, mungkin saya akan turun pakai topi, berkaca mata dan berseluar jeans lawat (JPJ setiap negeri). Saya juga mungkin hantar pengarah di ibu pejabat sebab kalau saya kerap turun mungkin orang kenal.

Beliau yang dilantik mengetuai JPJ 23 Julai lepas mengakui berpuas hati dengan tindakan segera semua JPJ negeri dalam melaksanakan inisiatif dan penambahbaikan diperkenalkannya serta pengurusan tertinggi lain.

Antara inisiatif segera dilakukan dan mendapat respons baik JPJ negeri adalah menyediakan pegawai pemudah cara dikenali JPJ Assist berperanan membantu dan menyantuni pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan di jabatan itu.

Kita juga akan memperhebatkan hebahan 38 perkhidmatan atau urus niaga dalam talian disediakan JPJ ketika ini kurang disedari umum, yang kita yakin boleh mengurangkan bilangan orang awam datang ke kaunter, sekali gus mengurangkan kesesakan pelanggan serta masa menunggu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*