{VIDEO} ‘Hari ini menang esok…, saya ulang…’ – KJ, Hot FM jadi tumpuan ‘ejek PM’

‘Hari ini menang esok…, saya ulang…’ – KJ, Hot FM jadi tumpuan ‘ejek PM’. Stesen radio Hot FM menuai polemik di media sosial apabila ungkapan yang sering dikaitkan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi bahan lelucon dalam satu siaran yang turut menampilkan Khairy Jamaluddin.

Ia berlaku semasa siaran pagi semalam apabila Khairy menyebut “saudara-saudara, kalau menang hari ni, esok…kita makan ramai-ramai” ketika bercakap tentang kemungkinan dia memenangi undian untuk Anugerah Bintang Popular anjuran Berita Harian yang bakal berlangsung Oktober ini.

Sindiran Khairy itu kemudian disambut dengan deraian ketawa penyampai Fara Fauzana (Fafau) dan Johan Raja Lawak.

“Saya ulang!” sambung Khairy dengan sekali lagi disusuli ketawa Fafau dan Johan.

Walaupun tidak merujuk Anwar secara khusus, ungkapan itu serta nada yang digunakan Khairy dilihat menyerupai cara Anwar menyebutnya sebelum ini.

Ungkapan itu sememangnya sering dikaitkan dengan Anwar ketika dia menjadi ketua pembangkang, berhubung janjinya untuk menurunkan harga minyak.

Ia pertama kali disebut Anwar pada 2008, ketika dia masih mengetuai gabungan Pakatan Rakyat.

“Hari ini (8 Mac) kita diumumkan menang, esok (9 Mac) kita umumkan penurunan harga minyak,” katanya ketika itu.

Namun lelucon itu mencetuskan kontroversi apabila segelintir pendengar berpendapat jenaka tidak sepatutnya diperdengarkan di radio seperti Hot FM.

Mereka juga berkata tindakan Hot FM membenarkan ia berlaku sebagai tidak bertanggungjawab.

Kata mereka, ia terutama apabila jenaka tersebut ditujukan secara terbuka kepada pemimpin negara.

“Nak kritik, dipersilakan. Nak troll, guna platform lain. Bukan platform stesen radio atau TV.

“Kalau nak bandingkan zaman perdana menteri sebelum ni, cuba semak ada troll ke di stesen TV atau radio?

“Kalau ada troll pun, troll bekas PM. Bukan PM semasa,” ciap seorang pengguna di X.

Malah segelintir pengguna media sosial yang lain mengancam untuk memboikot stesen berkenaan.

“Sungguh mengecewakan. Daripada Fafau dan FBI (Faizal Ismail) jadi DJ, saya masih ikuti tapi mulai hari ini sudah tidak mahu dengar Hot FM.

“Apalah melawak benda sensitif, perdana menteri kot. Patutnya Hot FM kena tunjuk adab. Ini tidak, sama saja dengan orang tidak cerdik yang menghina, memfitnah orang sesuka hati,” kata seorang pengguna di Instagram pula.

Namun ada yang mempertahankan Hot FM dengan berkata kalangan yang tidak berpuas hati bersikap terlalu sensitif dengan jenaka itu.

“Dah kenapa? Okey saja lawak dia aku dengar. Entah-entah PMX pun tidak ambil hati, kamu saja triggered lebih,” kata seorang pengguna media sosial.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Hot FM berhubung perkara ini.

‘Tak apalah, saya terima’

Ketika sidang Dewan Rakyat pertengahan tahun lalu, Anwar sempat menjawab sindiran yang sering dihalakan kepadanya berhubung perkara itu.

Menjawab Ahli Parlimen Pasir Mas daripada PAS Ahmad Fadhli Shaari, dia berkata PAS sendiri menjadikannya sebagai bahan kempen semasa parti itu masih berada dalam Pakatan Rakyat.

“Semua kempen PKR, PAS gunakan itu,” katanya sambil menambah dia malah pernah dipesan agar menyebut perkara itu dalam satu program di Kelantan pada masa lalu.

“Tak apalah, saya terima (sindiran) itu. Tiada masalah.

“Apakah saya ada sebut dulu, ya saya sebut. Tapi saya nak beritahu, harga minyak di Arab Saudi ketika itu 50 sen (seliter), harga kita RM1.80 sen (seliter),” katanya lagi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*