Padah benar anak bawah umur pandu kereta, wanita didenda RM700

Seorang wanita didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Trafik Seremban hari ini selepas mengaku salah membenarkan anaknya yang berusia 10 tahun memandu kereta dalam kejadian di Taman Arowana Impian, minggu lalu.

Majistret Marlissa Mohd Fahmy mengenakan hukuman terhadap wanita berusia 46 itu selepas dia membuat pengakuan berkenaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tujuh hari dikenakan sekiranya wanita itu gagal membayar denda tersebut, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, orang kena saman (OKS) sebagai pemilik kenderaan jenis Toyota Corolla telah membenarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 September lalu, kira-kira 9 malam di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di Seremban.

OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Menurutnya, OKS sebagai pemilik kenderaan telah lalai dengan tanggungjawabnya untuk membuat pemantauan dan pengawasan terhadap anaknya.

Bagaimanapun, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Katanya, suaminya pula sedang sakit dan mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Marlissa berkata kesalahan dilakukan wanita itu adalah serius.

Wanita itu bagaimanapun telah membayar denda berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak memandu sebuah kereta Toyota Corolla bersama jirannya berusia sembilan tahun, terbabas ketika melalui selekoh dan merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan sebelum van itu melanggar sebuah kereta di hadapan.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*