Pengasuh wanita yang diberkas polis petang semalam selepas dipercayai menyebabkan kematian, Muhammad Al Fateh Amri, 8 bulan, di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Kelemak, dekat sini dikatakan mempunyai ‘kes’ lama sebelum ini.
Bapa mangsa, Mejar Ir. Ts. Mohd.Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata, pihak pengurusan taska akhirnya membuka mulut selepas didesak oleh ahli keluarganya bagi mengetahui motif tindakan suspek.
Katanya, dia bagaimanapun hanya dimaklumkan suspek yang juga merupakan ibu tiga anak itu mempunyai masalah dan ‘kes’ sebelum ini.
“Bila saya sampai dari tempat bertugas di Kem Perdana, Sungai Besi Kuala Lumpur, saya terus berjumpa dengan pengurus taska dan mendesaknya supaya menceritakan hal sebenar.
“Selepas itu barulah dia akui pengasuh yang menjaga anak saya itu ada masalah dan pernah buat kes sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.
Semalam Kosmo! melaporkan Muhammad Al Fateh meninggal dunia dipercayai selepas dibedung, disumbat botol susu sebelum ditekup dengan bantal oleh seorang pengasuh wanita.
Pihak taska kemudian menelefon ibu mangsa kira-kira pukul 9.05 pagi memaklumkan Muhammad Al Fateh menjadi biru dan tidak mengetahui punca kejadian sehinggalah Mohd. Fikry bersama pasukan polis memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis terbabit.
Mengulas lanjut Mohd. Fikri berkata, Muhammad Al Fateh baru sahaja lima hari dihantar ke taska tersebut sejak Isnin, namun dijaga oleh pengasuh lain sehingga Khamis lalu.
“Isnin sampai Khamis memang orang lain yang jaga Al Fateh dan pada hari kejadian suspek menggantikan pengasuh asal yang bercuti, terus jadi macam ni.
“Tak ada apa berlaku dari Isnin sehingga Khamis, pihak taska hantar video kepada isteri (kongsi keadaan Al Fateh) memang tak ada masalah,” ujarnya.
Turut baca :
Leave a Reply