Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memberi amaran untuk menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan daripada penerimanya jika mereka terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.
Baginda bertitah, setiap penerima yang telah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dan sebarang kesalahan jenayah.
“Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala darjah dan pingat kebesaran akan ditarik balik. Good bye to it (ucapkan selamat tinggal kepadanya).
“Sehubungan itu saya telah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan yang ada darjah kebesaran, maka ia akan ditarik balik.
“Hal ini hanyalah untuk darjah persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri-negeri lain saya tidak masuk campur,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Turut berangkat di istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda bertitah setiap tahun banyak pihak menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran sempena sambutan rasmi ulang tahun hari keputeraan Agong.
Malah titah Sultan Ibrahim, ada juga yang terpedaya dan ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan.
Sultan Ibrahim mendedahkan, ada juga yang melobi baginda untuk mendapatkan darjah yang membawa gelaran Tan Sri atau Datuk namun perkara itu tidak dilayan sama sekali.
“Suka saya nyatakan di sini bahawa setiap pencalonan dibawa oleh kerajaan akan saya teliti satu persatu dan pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat dan negara,” titah Sultan Ibrahim.
Sehubungan itu baginda bertitah hanya berkenan untuk mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan kepada 116 penerima sahaja pada tahun ini.
Terdahulu Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima. Dia dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Turut baca :
Leave a Reply