Rogol : Da’i Syed dipenjara 10 tahun, 3 sebatan

Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, lapor Sinar Harian.

Beliau juga mengarahkan hukuman penjara terhadap Syed Shah Iqmal, 29, berkuatkuasa pada hari ini.

Selepas mendengar hukuman itu, Syed Shah Iqmal dilihat menangis sebelum memeluk isterinya yang baru melahirkan anak sulung mereka kira-kira 16 hari lalu.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 Shah Alam, pada jam 1.35 pagi pada 11 Sep 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada tuduhan itu selepas hakim memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri atas pertuduhan itu, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pendakwan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Syed Shah Iqmal diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edros.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*