Tragedi Masjid India : Penyelamat berisiko dihanyut arus selepas rungkai sekatan

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India mengesan ‘backlog’ atau timbunan sepanjang 15m di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44m dari lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Nor Hisham Mohammad berkata ia berjaya dikesan hasil dua ujian pelepasan tong air yang dijalankan pada hari pertama dan kedua di lokasi kejadian serta Wisma Yakin.

“Berdasarkan pemerhatian di setiap lurang dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati tong yang kita lepaskan dari ‘ground zero’ itu tidak keluar.

Berikutan itu, pada 12 malam tadi kita mengambil dua pendekatan iaitu menutup sebahagian saluran air dan kedua, melencongkan sebahagian daripada aliran masuk untuk mengurangkan paras air dalam salur kumbahan, katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Turut hadir Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman.

Hisham berkata pasukan SAR kemudian menggunakan pam berkapasiti tinggi iaitu 10,000 L dan 20,000 L untuk mengepam keluar air dan hasilnya, pada 4 pagi tadi paras air di dalam paip kumbahan bersaiz 1.5m dapat dikurangkan kepada 0.8m sebelum kamera dimasukkan.

Beliau berkata pasukan SAR mula menjalankan operasi untuk merungkai sekatan yang menghalang aliran air dalam paip pembetungan itu sejak 5 petang tadi dengan menariknya sedikit demi sedikit.

Jika ‘backlog’ ini berjaya dirungkai, saya percaya keseluruhan permukaan dalam paip kumbahan itu akan dapat dilihat sebelum pasukan penyelam boleh melakukan tugasan mereka untuk mencari mangsa yang dipercayai terperangkap, katanya.

Hisham berkata risiko paling besar menanti pasukan penyelam ialah dihanyutkan arus deras jika ‘backlog’ itu, yang biasanya terdiri daripada botol minyak masak, tayar, ketulan minyak beku serta gumpalan rambut, berjaya dirungkai.

“Had air selepas Wisma Yakin sangat laju… kerisauan paling besar atau risiko paling besar ialah ‘backlog’ tersebut. Berdasarkan andaian kami, jika ‘backlog’ itu terungkai, ia menyebabkan tekanan hingga 100m³ sekali gus boleh memberi ancaman kepada penyelam.

Sehubungan itu, pada malam ini kita akan mengulangi semula langkah malam tadi dan selepas dapat mengurangkan paras air, kami akan menggunakan pancutan berkuasa tinggi daripada IWK. Jika keadaan selamat, barulah penyelam akan turun sebelum langkah seterusnya diambil, kata beliau.

Hisham berkata setiap penyelam dilengkapi set skuba untuk mengelakkan risiko termasuk gas beracun.

Sulizmie pula berkata usaha mencari mangsa tetap diteruskan dan perkara itu dipersetujui hasil pertemuan antara pasukan SAR dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa petang semalam.

“Pasukan penyelamat dipanggil oleh menteri untuk kami sama-sama berbincang hala tuju pencarian mangsa.

Agensi yang terlibat telah memberi taklimat mengenai segala tindakan yang telah diambil untuk mengesan mangsa dan beliau bersetuju pencarian diteruskan, katanya.

Pada masa sama, orang ramai dinasihat agar tidak berkunjung ke lokasi kejadian untuk mengelakkan sebarang risiko dan kejadian yang tidak diingini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*