Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang pernah menyewa sebuah rumah di Ipoh, tempat mayat seorang bayi ditemukan di bawah lantai simen, tengah hari tadi.
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata menurut pemilik, rumah itu disewakan sejak tiga tahun lepas kepada wanita tersebut dengan bayaran RM400 sebulan.
Wanita itu bagaimanapun melarikan diri sejak sebulan lepas, tambahnya.
Pemilik rumah tinggal selang sebuah rumah dari rumah sewanya dan nampak perempuan Indonesia itu mengandung, katanya, lapor Bernama.
Menurutnya, pemilik mengutip sewa setiap bulan memandangkan penyewa itu membayar secara tunai.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun membuat laporan terjumpa mayat bayi di bawah lantai simen ketika mahu mengubah suai rumah yang baru disewanya.
Ketika mengorek simen ruang tempat letak kereta, lelaki itu menjumpai cebisan kain sarung dan jasad kecil di dalam kain tersebut.
Abang Zainal berkata, berdasarkan keterangan pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, mayat bayi perempuan dipercayai berusia tujuh bulan ketika dilahirkan itu tidak mempunyai sebarang kecederaan.
Turut baca :
Leave a Reply