Seleweng dana 1MDB, eksekutif PetroSaudi dihukum penjara

Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mensabitkan eksekutif PetroSaudi International Ltd, Tarek Obaid dan Patrick Mahony atas peranan mereka dalam menggelapkan dana 1MDB.

Mereka dituduh mencipta tanggapan palsu bahawa kerajaan Arab Saudi menyokong syarikat mereka, dalam usaha meyakinkan lembaga pengarah 1MDB untuk menubuhkan usaha sama dengan syarikat mereka pada 2009.

Mereka kemudiannya meneruskan penipuan 1MDB sebanyak AS$1.8 bilion (RM8 bilion).

Laporan Reuters hari ini memetik pertuduhan terhadap mereka yang menyatakan bahawa Obaid mendapat sekurang-kurangnya AS$805 juta, manakala Mahony mendapat sekurang-kurangnya AS$37 juta.

Laporan itu menyebut Obaid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, manakala Mahony dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Dalam satu kenyataan berasingan, 1MDB berkata mahkamah juga telah memerintahkan aset kedua-dua mereka berjumlah lebih AS$240 juta dirampas dan dikembalikan kepada 1MBD.

Ini termasuk hartanah di Switzerland dan UK dan wang yang disimpan dalam banyak akaun bank.

“Kami mengalu-alukan keputusan hari ini di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland, yang bermaksud bahawa Patrick Mahony dan Tarek Obaid akan berdepan hukuman atas peranan mereka dalam menyeleweng dan menipu rakyat Malaysia, dan kami memuji pihak berkuasa Switzerland atas usaha mereka memastikan sabitan ini,” kata seorang jurucakap lembaga pengarah 1MDB.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*