Di balik tirai besi selama 20 tahun.. Bekas banduan Al-Maunah kesal terpedaya ajakan rakan

KOTA BHARU: Pengalaman di balik tirai besi selama 20 tahun menjadi pengajaran memeritkan buat bekas banduan Al-Maunah, Mohd Ramli Mahmood akibat mudah terpedaya ajakan rakan mengenai kumpulan itu.

Ramli, 70, yang mesra disapa Abe Li berkata, disebabkan terlalu percaya kata-kata rakan bahawa ia hanya melibatkan ilmu perubatan dan silat, dia menyertai kumpulan haram itu pada 2000 tanpa berfikir panjang.

“Saya mula menyertai Al-Maunah ketika berusia 47 tahun bersama 29 ahli lain sebab pada awalnya saya ingatkan pergerakan ini untuk mempelajari ilmu perubatan dan persilatan.

Tidak disangka rupa-rupanya gerakan ini untuk mengancam negara dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, katanya pada Program Semarak Merdeka 67 di sini yang dihadiri Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kelantan, Jefny Muhammad.

Bapa kepada lapan anak itu turut menasihatkan generasi muda tidak sesekali terpengaruh ajakan rakan menyertai pergerakan atau pertubuhan bertentangan ajaran Islam serta menggugat ketenteraman negara.

Kehidupan serta hukuman 20 tahun di Penjara Kajang dan Machang banyak memberi pengajaran kepada saya supaya tidak mudah terpedaya dengan sesiapa, termasuk rakan sendiri. Saya harap golongan muda tidak mudah terpengaruh trend ajaran atau gerakan baharu ingin memusnahkan keharmonian negara.

Ramli bersyukur terlepas daripada menjalani hukuman penjara seumur hidup, selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk dibebaskan pada 2020.

Anggota Al-Maunah menyusup ke kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik, Perak pada 2 Julai 2000, melarikan ratusan senjata dan peluru, selain menawan beberapa tebusan ketika mereka merancang rampasan kuasa.

Pengantara berunding dengan ketua mereka, Amin Razali di pangkalan kumpulan itu di Bukit Jenalik dekat Kuala Kangsar supaya menyerah diri.

Amin akhirnya bersetuju menyerah diri, tetapi dia menarik balik dan bertelagah dengan seorang perunding, sebelum tentera menyerbu kubu kuat kumpulan itu. Dua tebusan maut.

Amin dan dua orang kanannya dijatuhkan hukuman mati kerana khianat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*