PEMAIN import Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Sepanyol, Juan Muniz mengukuhkan reputasi sebagai pemain tengah paling berbahaya di Liga Malaysia apabila jaringan hatriknya membantu Harimau Selatan mengatasi Selangor FC 6-1 dalam aksi final Piala FA.
Kemenangan bergaya itu juga menyaksikan JDT berada dalam kelas tersendiri apabila muncul pasukan pertama dalam sejarah memenangi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Muniz bertindak cemerlang apabila menembusi gawang Selangor FC menerusi dua sepakan percuma dan voli rendah yang menewaskan Samuel Somerville pada minit ke-26, 67′ dan 89′ dalam aksi final berintensiti tinggi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Tiga lagi gol JDT dijaringkan Arif Aiman (42′), Bergson (62′) dan Heberty Fernandes (76′).
Gol saguhati Selangor FC diperolehi menerusi Alvin Fortes (59′).
Dalam aksi itu, kedua-dua pengendali membariskan skuad terkuat dengan masing-masing mempertaruhkan penyerang berbisa Bergson da Silva buat JDT manakala Ronnie Fernandez buat Selangor.
Namun, Muniz dilihat lebih menyerlah dengan penguasaan di tengah padang selain ketenangan permainan dalam merobek kubu Selangor FC.
Sejurus aksi final tamat, Muniz diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Secara keseluruhan untuk kempen Piala FA 2024, Muniz meledak lima gol.
Sebelum ini, skuad Harimau Selatan telah menjulang Piala FA sebanyak dua kali pada edisi 2022 dan 2023.
Turut baca :
Leave a Reply