{VIDEO} Tragedi Masjid India: Mangsa masih gagal dikesan

Wanita yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India pagi semalam masih belum dapat dikesan, selepas operasi pencarian diperluaskan dengan jengkaut petang semalam.

Dalam pencarian petang tadi, bomba mengorek keliling suatu takungan milik Indah Water Konsortium (IWK), yang dibina dengan konkrit.

Selepas lebih 12 jam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, bomba memaklumkan ia diteruskan oleh unit skuba ke dalam takungan sedalam 1.5m itu.

Sekiranya mangsa termasuk ke dalam saluran mungkin kita kena berhubung dengan IWK, kata Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nordin Pauzi kepada pemberita di lokasi.

Ditanya tentang kemungkinan mangsa dibawa arus, Nordin berkata pihaknya sedang mengkaji arus air dan diameter paip, maka tidak boleh membuat jangkaan awal.

Dua penyelam bomba telah masuk ke ‘chamber’ (ruang) tersebut, katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Maimunah Mohd Sharif berkata semakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati adanya laluan paip kumbahan bersaiz 1.5 meter diameter di lokasi terbabit.

Beliau berkata IWK berada di tapak untuk membantu bomba dan DBKL, manakala semua agensi utiliti telah diminta untuk menyemak aset-aset berkaitan.

DBKL bersama agensi lain sedang membuat pengesanan di sepanjang jajaran paip kumbahan bagi mengenalpasti mangsa sejak petang tadi. Sehingga kini, mangsa masih belum dapat dikesan, katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, mangsa yang dilaporkan sedang berjalan dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang terjatuh dan tertimbus di dalam lubang akibat tanah jerlus kira-kira 8 pagi.

Mangsa adalah seorang warga India berumur sekitar 40an.

Dalam pada itu, waris tiba di lokasi malam tadi untuk perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Maimunah bertemu dengan suami mangsa dan menzahirkan rasa sedih dan simpati atas kejadian yang berlaku.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*