Pelukan lama Tengku Ampuan Pahang dengan Tengku Afzan undang rasa sebak

Pelukan lama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakandanya, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengundang rasa sebak dalam kalangan penonton malam semalam.

Momen itu dirakam ketika Istiadat Merenjis selepas Tengku Afzan selesai diijabkabulkan dengan suaminya, FD Idzham FD Iskandar di Istana Abdulaziz, malam semalam.

Kelihatan Tengku Ampuan Pahang tidak dapat menahan sebak ketika berpelukan dengan anakanda kesembilan daripada 10 orang adik-beradik itu ketika berada di atas mahligai pelamin.

Tengku Ampuan Pahang juga dilihat mencium dahi Tengku Afzan berkali-kali sambil menitipkan pesanan kepada FD Idzham yang berada di sebelah anakandanya.

Terdahulu, pasangan diraja itu selamat dinikahkan oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim yang diperkenankan oleh Sultan Pahang menjadi wakil rasmi Baginda di majlis tersebut.

Pada istiadat akad nikah itu, kedua-dua pasangan diraja itu tampak segak dan manis mengenakan baju Melayu dan baju kurung berona putih.

Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Utama Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung pada tiga hari iaitu 22, 23 dan 25 Ogos ini.

Majlis akad nikah akan diikuti berinai Jumaat ini dan bersanding pada Ahad.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*