Tengku Mahkota Pahang murka dengan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang telah memperlekeh tugas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah murka terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan perdana menteri.
Titahnya, kenyataan Muhyiddin itu secara sengaja dan sinis telah memperlekeh peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tegas Baginda, sebagai bekas perdana menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta serta membawa naratif negatif seolah-olah Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri.
Kenyataan ini juga sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat, titahnya menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan.
Baru-baru ini, tular ucapan Muhyiddin ketika kempen PRK Nenggiri yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam isu pelantikan perdana menteri.
Muhyiddin dijangka memberi keterangan kepada polis esok susulan ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).
Tengku Hassanal bertitah Sultan Abdullah tidak sewenang-wenangnya keputusan itu walaupun mempunyai budi bicara sebagai ketua negara dalam melantik perdana menteri mengikut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Baginda semasa itu telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan perdana menteri dibuat.
Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022, titahnya.
Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, titahnya.
Susulan itu, Tenggku Hassanal menggesa polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen isu 3R.
Saya juga ingin menasihatkan semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, titahnya lagi.
Turut baca :
Leave a Reply