‘Kami dengar jeritan sebelum lihat guru besar, wanita berlumuran darah’

“Kami dengar jeritan minta tolong sebelum lihat guru besar dan seorang wanita berlumuran darah di dalam tandas surau,” kata Salwiah Yusof, 37, mengenai kejadian serangan oleh seorang lelaki bersenjata pisau di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Jalan SS 5A/10 Kelana Jaya, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, dua wanita berusia 20-an dan 50-an terbabit cedera ditikam dan dilibas lelaki yang melarikan diri menaiki kereta jenis Audi.

Salwiah yang juga guru Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Al-Ehsaniah itu berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang membuat persiapan untuk memulakan sesi pembelajaran waktu petang manakala guru lelaki ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, sebelum kejadian wanita berusia 20-an itu dipercayai singgah untuk menunaikan solat Zohor dan masuk ke dalam tandas surau sebelum diserang seorang lelaki.

“Secara tiba-tiba kami terdengar suara jeritan wanita dan guru besar yang berada berhampiran terus berlari ke tandas untuk memeriksa apa yang berlaku.

“Guru besar lihat wanita terbabit sedang bergelut dengan lelaki itu dan ada kesan cedera di perut dipercayai ditikam. Ustazah cuba membantu mangsa tapi turut dilibas suspek menyebabkan cedera di tangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Salwiah berkata, dia dan rakan sekerja lain turun ke lokasi sebaik mendengar jeritan kuat kedua-dua mangsa dan melihat mereka sudah cedera manakala lelaki itu melarikan diri.

Katanya, pihak sekolah kemudian menghubungi ambulans dan kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Roselee Mohamed, 70, berkata terdapat tiga kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan surau namun kesemuanya tidak berfungsi.

“Ada tiga CCTV termasuk satu di kawasan luar surau tapi sudah tidak berfungsi.

“Ini kejadian pertama membabitkan senjata berlaku di surau ini sejak ditubuhkan pada tahun 1987,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*