Datuk, nenek, cucu maut rumah terbakar di Pagoh

Suami isteri warga emas dan cucu perempuan maut dalam kebakaran memusnahkan kediaman mereka di Pagoh, Johor, awal pagi tadi.

Seorang lagi cucu mereka cedera dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan pada 1.30 pagi itu.

Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, maut di lokasi kejadian, manakala Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhlis Azman Aziz, berkata mayat mangsa dihantar Unit Forensik HPSF untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang juga cucu mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HPSF, katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, menurut saksi awal kejadian dipercayai berlaku sekitar 1.30 pagi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Mohd Fadli Ismail, berkata selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.25 pagi, 21 anggota bersama beberapa jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

Katanya, kejadian melibatkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 3.7×5.5m yang terbakar 85%.

Operasi tamat pada 4.24 pagi. Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*