Putin undang Anwar ke Russia bincang kerjasama ekonomi

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan rakan sejawat dari Russia, Presiden Vladimir Putin di Vladivostok dalam beberapa minggu lagi.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu adalah atas undangan Putin bagi membincangkan soal kerjasama ekonomi antara kedua negara.

“Beberapa minggu lagi saya akan ke Vladivostok, di pinggir Russia untuk menerima undangan Presiden Putin bagi berbincang soal kerjasama ekonomi.

“(Ini) meletakkan kita sebagai antara negara yang pertahankan pendirian kita yang bebas, dan tidak mengambil sikap untuk bermusuh dengan sesiapa.

“Prinsip kita adalah jelas, tetap pertahankan kebebasan, tolak kezaliman, tidak mengizinkan mana-mana negara kelompok menindas, menghina dan membunuh rakyat kita yang tidak berdosa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ibu pejabat GXBank & pelancaran pusat kecemerlangan di sini, JUmaat lalu.

Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Anwar berkata, dalam soal Gaza, Malaysia bersuara cukup lantang kerana prinsip kemanusiaan.

“Tak perlu cakap pasal kebebasan apabila anda dibutakan dengan kekejaman yang melampau, tidak kira mangsa adalah Muslim, Hindu, atau Buddha. Berpegang teguh tanpa kompromi,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka dalam ekonomi dengan mengamalkan dasar terbuka dengan semua negara.

“Apa saja yang boleh selamatkan bangsa dan negara, memacu pertumbuhan dengan segar, apa saja kerangka yang memungkinkan kita berdagang dengan semua negara, dan pertahankan keamanan dan kepentingan ekonomi negara, kita akan terbuka.

“Kita mengambil sikap cukup terbuka untuk bersahabat dengan semua, berdagang dengan semua asalkan kita kekal sebagai negara yang bebas merdeka dan berdaulat.

“Kita kekal hubungan tradisional dengan Amerika Syarikat (AS) kerana pelaburan dari soal umpamanya pendigitalan awal, itu banyak pelaburan dari AS, Eropah.

“Di samping itu kita telah meneroka dan ada hubungan sangat istimewa dengan China, selain Jepun dan Korea yang dianggap tradisional. Ini menguntungkan kita kerana mempunyai dasar yang jelas, bersahabat dan mengambil sikap bebas,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*