Pemandu treler rempuh rumah menyebabkan dua beradik maut direman 4 hari

Pemandu treler merempuh sebuah rumah sehingga menyebabkan dua beradik maut di KM5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, semalam, direman empat hari.

Perintah reman ke atas pemandu berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, pemandu treler itu yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah kira-kira 9.45 pagi diiringi polis.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*