KOTA KINABALU -Taktik dua lelaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi dengan mengumpul bahan api itu dari stesen-stesen minyak terbongkar apabila ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam operasi Ops Tiris di Jalan Penampang pada Jumaat malam.
Dalam operasi jam 9.10 malam itu, dua lelaki tempatan berusia 40 dan 29 tahun sebagai pemandu pacuan empat roda dan lori ditahan ketika membeli diesel di sebuah stesen minyak.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, kegiatan penyelewengan itu berjaya ditumpaskan oleh pasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah yang menjalankan pemeriksaan terhadap dua kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan pada bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 900 liter dan sebuah lagi lori terdapat tangki jenis fiber di bahagian belakang berisi 600 liter diesel ketika cuba membuat pembelian di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang.
“Berdasarkan keterangan awal, kedua-dua suspek yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli serta membawa diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, kesemua barang yang ditemui dirampas termasuk 1,500 liter diesel yang dibawa kedua-dua suspek tersebut.
“Hasil siasatan mendapati, modus operandi suspek bagi kegiatan ini adalah dengan mengumpul diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam.
“Kemudian mereka disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, Georgie berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Georgie juga menegaskan, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini.
Turut baca :
Leave a Reply