Rasuah projek hampir RM110 juta, bekas pegawai SPNB bergelar Datuk antara ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk Datuk dipercayai menerima rasuah projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta.

Sumber berkata, suspek bergelar Datuk itu merupakan bekas pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh pemaju Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Perintah reman selama lima hari bermula semalam terhadap semua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima rasuah daripada syarikat pembinaan sebagai balasan kerana bersekongkol bagi menandatangani satu perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.

“Perjanjian yang ditandatangani ini dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

“Kesemua suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 6.30 hingga 7 malam Isnin, namun seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*