Perbuatan seorang isteri bersekongkol dengan kekasih gelap melakukan peras ugut terhadap suaminya dengan meminta wang RM2,000 membawa padah apabila dikenakan hukukan penjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membuat keputusan itu selepas tertuduh, Syuzzana Yahaya, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Teman lelakinya, Mohd Feardous Osman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan melalui aplikasi WhatsApp kepada Zakaria Mohd Nooh, 41, dengan mendatangkan ketakutan untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pekan Nanas, di sini pada pukul 12.14 tengah hari pada 26 Julai lalu.
Mengikut fakta kes, pesanan WhatsApp itu meminta wang sebanyak RM2,000 dipindahkan ke dalam akaun selain ugutan tidak melibatkan polis jika tidak mahu isteri dan anak-anak mati kelaparan atau salah seorang ahli keluarga tidak akan selamat.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.
Majistret Nur Azzuin kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 kepada Syuzzana, jika gagal membayar bayar denda, akan dipenjara tiga bulan.
Mohd Feardous pula dibenar ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September depan sebagai serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Turut baca :
Leave a Reply