Seorang wanita di Filipina ditahan polis selepas memotong kemaluan suaminya kerana menyebut nama wanita lain semasa mereka berintiman, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Menurut polis tempatan, kejadian berlaku di rumah pasangan itu di Bandar Baguio, Filipina pada minggu lalu.
Suspek yang berusia 55 tahun, dilaporkan memotong kemaluan mangsa yang sedang tidur menggunakan pisau sepanjang 25.4 sentimeter.
Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas jiran mereka terdengar jeritan dan segera mendapatkan bantuan sebelum dibawa ke hospital.
Suspek ditahan di Balai Polis Bandar Baguio kerana disyaki mencacatkan organ mangsa.
Polis berkongsi gambar memaparkan kemaluan itu terputus di atas tilam yang dipenuhi kesan darah. Mereka juga menemui pisau yang digunakan di tempat kejadian.
“Kejadian itu didakwa berpunca daripada rasa cemburu kerana isteri mendakwa suaminya mempunyai wanita lain,” kata seorang jurucakap Balai Polis Bandar Baguio.
Menurut suspek, dia ingin mengambil tindakan terhadap suaminya tetapi tidak mempunyai bukti kukuh.
“Suami saya menyebut nama wanita simpanannya dan bukan nama saya. Saya terpengaruh dengan alkohol tetapi saya tahu apa yang saya lakukan.
“Dia tahu bahawa dia juga bersalah. Dia tidak sepatutnya menafikan, dia tidak sepatutnya berbohong tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ia sangat jelas kerana saya melihatnya,” kata suspek kepada polis.
Suspek didakwa atas kesalahan mencacatkan anggota badan dan boleh dikenakan hukuman penjara antara 12 hingga 40 tahun jika didapati bersalah.
Turut baca :
Leave a Reply