KANGAR – Seorang lelaki menjerit meminta tolong memaklumkan anaknya berada dalam kereta yang tenggelam di dalam sungai di Jalan Kangar-Alor Setar di Kampung Tok Pulau, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 petang itu, lelaki tersebut sempat keluar dari kereta Proton Persona sejurus kejadian, manakala dua lagi mangsa iaitu wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki terperangkap.
Dua mangsa yang terperangkap itu kemudian diselamatkan orang ramai termasuk penduduk kampung dan diberikan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.
Menurut saksi, Mohd. Akmal Mohd Nizal, 25, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Alor Setar menyaksikan kejadian tersebut di depan matanya pada pukul 2.50 petang.
“Saya sedang menunggang motosikal dari arah Kangar sebelum melihat kereta Proton Persona berwarna merah datang dari arah Alor Setar terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh tiang elektrik.
“Kereta itu kemudian terjatuh ke dalam sungai di tepi jalan raya sebelum seorang lelaki dewasa keluar dan menjerit meminta tolong mengatakan anaknya berada di dalam kereta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jelasnya, dia tergamam melihat kejadian itu dan memberhentikan motosikalnya di tepi jalan.
“Saya ingin membantu, tetapi tidak pandai berenang. Jeritan kuat lelaki itu didengari penduduk kampung yang kemudian bergegas membawa peralatan seperti penukul turun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.
“Proses menyelamat mengambil masa beberapa minit sebelum mereka membawa naik seorang kanak-kanak dan mangsa wanita dari kereta yang berada dalam keadaan terbalik di dalam sungai,” ujarnya.
Tambahnya, sepasukan anggota bomba bersama jentera tiba di tempat kejadian dan memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa wanita dan kanak-kanak terbabit.
Turut baca :
Leave a Reply