HULU SELANGOR – Selepas hampir tiga jam bertarung nyawa, seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terjatuh di Taman Tasik Teratai, Serendah, di sini, petang semalam disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian melibatkan mangsa berusia 9 tahun itu sekitar pukul 6.04 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah tergelincir di dalam tasik tersebut sebelum beberapa rakannya bertindak meminta bantuan daripada orang awam.
“Pada pukul 6.08 petang, pihak polis tiba di lokasi kejadian dan mangsa berjaya dibawa keluar hasil bantuan orang awam, namun tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba yang tiba kemudiannya telah memberikan pertolongan awal kepada mangsa kerana didapati masih terdapat denyutan nadi,” katanya.
Menurut beliau, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Serendah sebelum dibawa ambulans ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.
Jelas Faizal, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Zon Merah Hospital Selayang pada pukul 8.55 malam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Terdahulu, media melaporkan sepasukan anggota bomba JBPM Selangor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tersebut.
Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun telah terjatuh ke dalam tasik tersebut ketika sedang mengambil Lokan.
Mangsa masih bernafas tetapi tidak sedarkan diri, diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Turut baca :
Leave a Reply