Bapa ‘tumpah air mata’ kongsi cerita anak perempuan nikah guru pondok tanpa wali

SEORANG bapa tumpah air mata apabila bercerita tentang nasib anak perempuannya yang berkahwin dengan guru di sebuah sekolah pondok tanpa kebenarannya sebagai wali.

Lebih remuk dan hancur hati lelaki berkenaan apabila anak gadisnya itu masih di bawah umur dan kini sedang hamil.

“Dia akad (nikah) sendiri (tanpa kebenaran wali). Menurut saya, saya gagal menjadi orang tua yang baik. Kalau berkaitan anak, tak pilih kasih. Semua sayang.

“Nama pun anak, pastinya saya sakit hati. Tak sanggup anak saya trauma,” ujar si bapa yang dikenali sebagai Mat Rokim sambil menitiskan air mata.

Lelaki berkenaan meluahkan hal itu menerusi satu temubual yang turut dihadiri anak perempuannya yang menggayakan busana serba hitam dan berpurdah.

Difahamkan guru yang mengajar di sekolah pondok tempat gadis berkenaan belajar dikenali sebagai Muhammad Erik.

Ketika ditanya pengendali program bual bicara itu, gadis tersebut mengaku dia dan gurunya melalui ‘malam pertama’ sebagai suami isteri.

“Ada (malam pertama selepas habis nikah). Ia berlaku di rumah kawannya,” ujar gadis itu, menyebabkan bapanya menangis teresak-esak.

Tambah gadis itu, dia dinikahi tanpa wali dalam satu upacara yang hanya dihadiri guru lelaki berkenaan serta dua lagi individu tidak dikenali.

Video wawancara bapa dan anak perempuan dari Indonesia itu turut tular ke negara jiran termasuk Malaysia selepas ia dikongsi di media sosial.

Difahamkan, gadis itu berkahwin dengan gurunya pada Ogos tahun lalu ketika dia masih berusia 16 tahun.

Untuk rekod Mat Rokim turut membuat laporan polis selepas mengetahui anaknya dinikahkan tanpa kebenaran.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lumajang, Akp Ahmad Rohim berkata, pihaknya sudah memanggil beberapa saksi termasuk Muhammad Erik bagi membantu siasatan berhubung kes ini.

Rata-rata netizen dari Malaysia meluahkan rasa sedih dengan nasib yang menimpa gadis berkenaan dan bapanya.

“Sedih tengok ayahnya. Ya Allah, dik. Kenapa nikah tanpa wali, tanpa wali hakim?

“Hancurnya hati seorang ayah. Anak nikah tanpa wali yang sah.

Bapa 'tumpah air mata' kongsi cerita anak perempuan nikah guru pondok tanpa wali
Kisah perkahwinan gadis itu turut meraih perhatian netizen di Malaysia.

“Allahu dik. Aku pun menangis lepas lihat ayahnya menangis. Rukun nikah kena ada wali sayang,” tulis beberapa netizen.

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, salah satu daripada rukun nikah ialah wali.

Ketiadaan wali yang layak mengahwinkan seseorang perempuan itu boleh menyebabkan akad nikah itu menjadi fasid (rosak).

Malah, tidak sah perkahwinan apabila menggunakan wali ab`ad (wali yang berada dalam tertib yang lebih jauh) atau menggunakan wali hakim/Raja jika wali aqrab (wali yang berada dalam tertib yang lebih dekat) seperti ayah masih layak untuk mengahwinkan perempuan itu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*