“Jangan nak main gila… Pengadil baran acu pistol lepas ditumbuk pemain. Satu perlawanan bola sepak di sebuah bandar di Espirito Santo, Brazil menjadi tegang selepas pengadil bertindak mengeluarkan pistol ketika mengadili aksi berkenaan pada 7 Jun lalu.
Menurut laporan berita antarabangsa, kejadian itu bermula apabila pengadil, Jhon Allif Vargas Maciel memberikan kad kuning kepada seorang pemain selepas berlaku kekasaran di atas padang pada separuh masa pertama.
Keputusan itu bagaimanapun tidak disenangi rakan sepasukannya sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menumbuk pengadil berkenaan.
Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, Jhon Allif kemudian pergi ke keretanya dan kembali ke padang dengan sepucuk pistol di tangan.
Pergerakannya bagaimanapun dihalang oleh beberapa individu yang berada di situ, sementara yang lain menghubungi pihak polis untuk meleraikan ketegangan.
Pemain yang menyerang pengadil semasa perlawanan itu telah dikeluarkan dari padang dan difahamkan, dia turut terlibat dalam satu lagi pertengkaran dengan pemain lain.
Jhon Allif kemudian memfailkan laporan polis di Balai Polis Wilayah ke-3 di Serra terhadap pemain berkenaan, namun tiada sebarang penahanan dibuat pihak berkuasa.
Orang awam turut merakam situasi tegang itu dan memuat naik video tersebut di media sosial.
Dalam perkembangan sama, Persekutuan Bola Sepak Espírito Santo (FES) pada 10 Jun lalu mengenakan tindakan penggantungan ke atas pengadil itu untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Turut baca :
Leave a Reply