Anggot Dewan Rakyat dari blok pembangkang keluar beramai-ramai meninggalkan sidang hari pertama tengah hari ini sebagai tanda membantah keputusan merujuk Wan Saiful Wan Jan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ia bagaimanapun menjadi tumpuan dengan cara tersendiri kerana langkah protes itu berlangsung hanya kurang seminit sebelum Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul menangguhkan sidang untuk rehat tengah hari.
Sebelum itu Dewan Rakyat meluluskan usul untuk merujuk Wan Saiful (PN-Tasek Gelugor) kepada jawatankuasa berkenaan berhubung dakwaan dibuatnya pada penghujung Feb lalu.
Ketika itu Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan tertentu – bernilai hampir RM2 juta – jika bersetuju memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu juga mendakwa di Dewan Rakyat, kes rasuahnya yang sedang dibicarakan di mahkamah juga boleh digugurkan jika sedia berpaling tadah.
Usul merujuk Wan Saiful ke jawatankuasa khas berkneaan dibentangkan oleh Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi, Azalina Othman Said.
Ia diluluskan dengan undi suara.
Ketika Johari membacakan keputusan undian tersebut sebelum diikuti pengumman penangguhan sidang, ahli parlimen PN pun bangun beramai-ramai meninggalkan dewan.
Turut baca :
Leave a Reply