MESKIPUN teknologi bergerak pantas setiap hari, amalan ilmu bercanggah ajaran Islam seperti sihir masih diamalkan segelintir masyarakat Melayu negara ini.
Buktinya, wujud akaun pengguna media sosial yang tidak malu untuk menunjukkan kerja-kerja pengamalan sihir yang dilakukan dengan secara terbuka.
Pengguna media sosial itu dengan nama g*** muda official banyak memuat naik rakaman melakukan kerja sihir seperti amalan pemakaian susuk dengan sewenang-wenangnya.
Turut dilihat, ramai warga maya memberi komentar berbaur gurauan seumpama perkara itu sama sekali tidak salah di sisi agama.
Antaranya, seorang pengguna Facebook, nandang27 yang bertanya lokasi amalan itu dibuat seperti mahu mendapatkan perkhidmatannya.
“Lokasinya di mana ya? Mahu pasang juga,” tulisnya.
Terbaharu, kecoh di media sosial apabila terdapat amalan syirik buhul sihir ditemukan di pusara bapa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad.
Dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1, Muar, Johor pada Isnin, beberapa bungkusan kecil yang diikat benang berwarna kuning dijumpai berselerakan di tepi nisan kubur Allahyarham.
Bercakap soal itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh mempersendakan agama. bahawa umat Islam tidak boleh mempersendakan agama.
“Kita kena menghormati ajaran Islam dan tidak melakukan hal-hal yang membawa syirik,” katanya.
Yang menakutkan, Mohamad Shukri berkata, syirik tergolong dalam dosa besar yang tidak diampunkan dosanya oleh ALLAH.
“Orang yang lakukan syirik ini doa dia Tuhan tak ampunkan kalau tidak bertaubat.
“Semua dosa dan maksiat ada harapan untuk mendapat pengampunan ALLAH kecuali syirik,” katanya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
اِن اللٰه لا يغفِرُ ان يُشرك بِهٖ ويغفِرُ ما دُون ذٰلِك لِمن يشاۤءُ ۚ ومن يُشرِك بِاللٰهِ فقدِ افترٰٓى اِثما عظِيما
“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
(Surah an-Nisa, ayat 48)
Mohamad Shukri turut berharap agar umat Islam tidak mengambil remeh tentang perkara sebegini.
“Kita kena disiplinkan umat Islam supaya tidak mempersendakan agama,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply