3 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Tiga lagi kematian membabitkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci direkodkan, menjadikan keseluruhan lapan orang setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar berkata, kematian kelapan membabitkan jemaah haji wanita Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang meninggal dunia 4.30 petang Sabtu lalu ketika berjalan pulang ke hotel.

“Allahyarham Sabina Jalil, 66 tahun dari Sungai Buloh, Selangor, menunaikan haji bersama seorang kawan, meninggal dunia disebabkan serangan jantung,” katanya selepas melawat Pusat Rawatan TH di Mina semalam.

Jemaah keenam dan ketujuh yang meninggal dunia ialah Baharuddin Mohd Shood, 75, dari Jengka, Pahang dan Abd Manaf Hanapiah, 65, dari Alor Setar, Kedah, masing-masing meninggal dunia pada 11 serta 13 Jun lalu.

Allahyarham Baharuddin meninggal dunia disebabkan kanser usus di Pusat Rawatan TH Makkah, manakala Allahyarham Manaf akibat serangan jantung semasa mendapatkan rawatan di Makkah Medical Center.

Na’im berkata, pesakit yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH Makkah ialah individu terbabit dengan Program Safari Wukuf pada Sabtu lalu yang dibawa ke padang Arafah oleh petugas TH menggunakan bas diubah suai.

Kebanyakan mereka mengalami masalah jantung, selain masalah kesihatan akibat pernafasan.

Pusat Rawatan TH Makkah menyediakan 187 katil dilengkapi peralatan perubatan serta perkhidmatan sinar-X, selain wad kecemasan, perkhidmatan pergigian dan makmal.

Turut disediakan 17 ambulans yang memberi perkhidmatan kepada 12 bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di sini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*