PASANGAN suami isteri zaman moden rata-ratanya akan merancang keluarga bagi menentukan berapa ramai anak yang mereka mahukan dan bilakah masa sesuai untuk proses kelahiran.
Menerusi satu perkongsian kisah di laman X, seorang lelaki berusia 32 tahun menjelaskan bahawa dia berhasrat untuk memiliki anak lelaki tetapi dalam masa sama bersabar menunggu kesediaan isteri.
Namun, hasrat itu punah apabila dia mendapat tahu isterinya bertindak mengikat tiub fallopio atau dikenali sebagai Bilateral Tubal Ligation (BTL) tanpa persetujuan bersama.
“Saya dan isteri ada seorang anak perempuan. Saya nak cerita yang saya tahu isteri sudah ikat peranakan tanpa berbincang dengan saya.
“Isteri sihat dan bersalin pun secara normal dulu. Rasanya… salah ke kalau saya bersedih (dengan tindakan isteri)? Saya faham yang badan dia, pilihan dia.
“Tapi saya masih terkilan dia ambil keputusan besar macam tu tanpa beritahu saya terlebih dahulu,” ujarnya yang tidak mendedahkan identiti diri dalam hantaran tersebut.
Menurutnya lagi, dia sudah maklum mengenai kehendak isteri untuk tidak memiliki anak yang ramai sebelum mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.
Bagaimanapun dia tidak menyangka isterinya berasa cukup dengan kehadiran seorang cahaya mata dalam keluarga mereka.
Bercerita lanjut, lelaki ini berkata, selepas mendapat anak pertama dia sanggup bersabar menunggu ‘keizinan’ daripada isteri untuk dia hamil sekali lagi walaupun mengambil masa yang lama.
“Saya teringin juga nak ada anak lelaki (dengan izin isteri). Saya boleh tunggu berapa lama pun dia nak ambil masa atau jika dia putuskan tak nak (beranak) lagi seorang pun pada akhirnya.
“Tapi jangan la buat keputusan macam tu tanpa berbincang dengan saya. Entah la… saya ni pentingkan diri ke? Narsistik ke saya rasa sedih?” ujarnya.
Posting luahan hati ini ternyata meraih perhatian warga maya yang bersimpati dengan nasib seorang lelaki bergelar suami.
Bagaimanapun, rata-ratanya berharap semoga dia dapat berbincang secara baik dengan isteri.
“Teringin nak tahu cerita belah isteri pula. Valid je perasaan awak tu sebab rasa dibelakangi tapi kenapa isteri sanggup buat macam tu tanpa berbincang dulu?
“Macam mana awak berdua dalam institusi perkahwinan tetapi keputusan besar macam ni tak ada komunikasi yang jelas. Memang, badan dia, pilihan (keputusan) dia. Tapi rasa hormat dan sayang awak mana? Saya simpati baca kisah awak ni.
“Valid je perasaan sedih tu. Cuba berbincang balik tanya kenapa dia ikat tanpa beritahu awak tu. Ada benda dia pendam ke sebelum kahwin atau masa mengandung dan bersalin ada benda trauma berlaku ke atau benda lain dia tak puas hati dengan awak. Jangan risau la awak tak pentingkan diri ke apa. Cuma tanya baik-baik dulu,” ujar beberapa netizen.
Turut baca :
Leave a Reply