Dakwa PH kutip dana PRU16, Rafizi gesa Sanusi segera lapor SPRM. Menteri Besar Kedah Sanusi Nor diminta segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendakwa terdapat ‘individu-individu’ dalam DAP dan PKR sedang mengumpulkan dana PRU16.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata Sanusi sengaja membangkitkan tuduhan seperti itu untuk menutup kelemahannya mentadbir Kedah.
“Sanusi kalau cucuk dia cepat melompat, kalau ada bukti, dah hebat sangat buat laporan SPRM esok, tiada orang campur tangan. Kalau betul ada orang DAP ‘pow-pow’ duit, sebabkan perancangan Sanusi tak berjalan. Kalau ada, sebut.
“Jangan gunakan PRK ini tanam dendam fitnah dan bodohkan lebih ramai orang Melayu, kalau tak reti buat kerja mengaku. Kalau betul ada, buat laporan SPRM,” katanya ketika pelancaran jentera kerajaan perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap malam tadi.
Terdahulu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dipetik media mendakwa terdapat banyak projek tergendala di Kedah tergendala disebabkan tiada ‘pelincir’ atau rasuah diberikan kepada wakil PKR dan DAP.
Beliau dilaporkan membuat dakwaan itu ketika berucap pada pelancaran jentera PN PRK Sungai Bakap, malam Sabtu lalu.
Rafizi yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata, beliau tidak menolak Sanusi akan berterusan menggunakan cara seperti itu untuk berkempen pada pilihan raya berkenaan.
“Kalau tak ada (laporan SPRM) maksudnya bersedialah dalam tempoh kempen macam-macam cerita Sanusi akan buat,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata kerajaan perpaduan akan mengumumkan calon bagi PRK Sungai Bakap, Rabu ini.
Katanya, mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan diadakan esok untuk membentangkan calon yang dipilih sebelum diperakukan.
PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai dengan penamaan calon dijadualkan 22 Jun, manakala undi awal pula akan diadakan pada 2 Julai.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Adun PAS daripada Perikatan Nasional (PN) Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan perut.
Turut baca :
Leave a Reply