‘Geng Broga’ seludup warga asing ikut jalan laut ‘tumpas’

Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan ‘Geng Broga’ yang disyaki sindiket penyeludupan warga Indonesia dalam operasi khas di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam di Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata 12 individu warganegara berkenaan ditahan dalam operasi bermula 8.05 malam melibatkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipandu tiga individu dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka mula memecutkan kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki dalang dan dua lelaki tempatan disyaki sebagai ‘transporter’ (pengangkut) berusia antara 31 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata turut ditahan dua lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki, semuanya warganegara Indonesia.

Menurut Ruslin hasil soal siasat, pasukan operasi diatur gerak ke kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam dan berjaya menahan lapan lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba dari negara terbabit melalui laluan laut.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 15 individu berusia lingkungan lima hingga 52 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati dua lelaki warganegara Indonesia tinggal lebih masa di negara ini manakala 10 lagi termasuk wanita dan kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Ruslin berkata turut dirampas lima pasport Indonesia, wang tunai RM6,200 serta tiga kereta berkenaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut individu terbabit.

Menurut Ruslin modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar menggunakan kapal nelayan sebelum menukar kepada bot kecil di tengah lautan.

“Dalang sindiket ini akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia, kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia.

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan telah beroperasi selama setahun,” katanya.

Semua lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala warganegara Indonesia ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) dan 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*