DEMI mahu kelihatan awet muda dan jelita, segelintir wanita sanggup melakukan perkara syirik termasuklan memakai susuk.
Biarpun ternyata ia tergolong dalam salah satu perbuatan yang berdosa besar, namun mereka berpandangan perkara tersebut dilakukan untuk tujuan baik iaitu agar dikasihi suami.
Tidak terkecuali Haslinda yang memasang susuk jarum emas pada wajahnya.
Namun, Haslinda bertekad untuk membuang susuk tersebut selepas hampir 20 tahun memakainya, disebabkan satu peristiwa yang dialaminya.
Kisah mengenai Haslinda dikongsikan rakan baiknya, Watie.
“Haslinda mengakui dia pakai susuk sebab tak mahu suami dia cari wanita lain. Dia mula pakai ketika berumur 25 tahun, iaitu kira-kira dua tahun selepas kahwin.
“Waktu itu dia masih belum dikurniakan anak. Sebagai isteri, dia bimbang alasan belum hamil digunakan suaminya untuk cari wanita lain.
“Lagi pula, suaminya boleh dikatakan tampan juga. Ramai wanita terpikat. Haslinda tak nak suaminya dikacau, dia pun nak kelihatan jelita, setanding dengan ketampanan suaminya,” kongsi Watie.
Menurut Watie yang bekerja sebagai ejen insurans, Haslinda memasang dua susuk jarum emas iaitu di dahi dan pipi.
“Haslinda beritahu dia mendapatkan khidmat seorang bomoh wanita di sebuah kampung di Raub, Pahang.
“Waktu dia buka cerita tu, saya ada nasihatkannya… tak mahu kawan baik sendiri terus terpesong.
“Haslinda kata dia tahu apa yang dilakukannya itu berdosa namun katanya, dia akan buang apabila tiba masanya nanti,” ujar wanita berusia 45 tahun ini.
Memasuki usia 40an, Watie mengakui dia sendiri kagum melihat wajah Haslinda yang kelihatan masih jelita selain susuk tubuhnya juga langsing biarpun sudah bergelar ibu kepada tiga cahaya mata.
Sehinggalah pada Jun tahun lalu, suami Haslinda iatu Shamrin (bukan nama sebenar), meninggal dunia secara mengejut akibat kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama rakan-rakannya.
“Selepas suaminya meninggal dunia, Haslinda seakan-akan hilang punca. Dia banyak termenung dan boleh kata selalu menangis.
“Saya kerap juga datang rumah dia… bagi kata-kata semangat, dengar luahannya.
“Dia ada cakap, dia rasa bersalah dan berdosa sebab rahsiakan pasal susuk daripada suaminya hingga meninggal dunia,” cerita Watie.
Bercerita lebih lanjut, Watie berkata pada Disember lalu, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada Haslinda sekitar pukul 6.30 pagi.
“Menangis-nangis sampai dekat lima minit. Kemudian barulah dia cerita. Katanya dia mimpi perkara ngeri… wajahnya hancur dan dibakar. Dah beberapa kali dia mimpi benda sama.
“Katanya, dia tak mahu mati tanpa sempat bertaubat. Enggan bertangguh lagi, dia minta saya tolong carikan perawat Islam yang boleh bantu buangkan susuknya.
“Syukur Alhamdulillah… niatnya itu dipermudahkan. Kami ke sebuah pusat rawatan Islam di Selangor dan perawat berjaya buang kedua-dua susuk di wajahnya,” kongsinya.
Menurut Watie lagi, Haslinda kini kelihatan lebih tenang malah pada Ramadan lalu, dia ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah bersama-sama tiga anaknya.
“Kami masih berhubung seperti biasa, selalu bertanya khabar.
Saya gembira lihat perubahan Haslinda.
“Memang berbeza sangat Haslinda dahulu dengan Haslinda sekarang… pakaiannya pun sejuk mata memandang, makin tenang, lebih positif.
“Jauh di sudut hati, saya bersyukur Haslinda tersedar akan dosa masa lampaunya dan kini berubah ke arah jalan yang diredai Allah,” akhirinya.
Sebagai peringatan, susuk adalah haram dipakai bagi orang Islam kerana ia adalah sejenis ilmu hitam yang menyesatkan.
Amalan-amalan seperti saka, susuk dan sihir adalah termasuk di dalam dosa besar yang boleh membawa kepada syirik iaitu menyekutukan Allah dengan sesuatu.
Turut baca :
- {VIDEO} “Tak tahu apa tujuan pergi kesana… Conteng batu, joget depan Kaabah, main game, kelakuan jemaah haji cetus kemarahan ramai
- {VIDEO} Tak sampai hati tengok beratur dalam hujan, lelaki beri kerusi pada wanita mengandung raih pujian
- {VIDEO} “Dah langgar blah macam tu jer… Wanita ingatkan pemandu Mazda CX-5, ‘anda bukan langgar kuman kecil’
Leave a Reply