Pemuda tak puas hati rider cuma isi RM1 minyak motor selepas dibantu… Rupanya simpan baki untuk beli lampin anak

SETIAP daripada kita mempunyai cara tersendiri untuk berbakti kepada masyarakat terutama sekali bagi mereka yang dalam kesusahan.

Begitulah dilakukan Boss Erry yang memberi bantuan setelah melihat seorang rider penghantar makanan sedang menolak motosikalnya yang kehabisan minyak di bahu jalan.

Dalam video dimuat naik di TikTok, Erry dilihat memberikan sejumlah wang kepada rider tersebut untuk mengisi semula petrol di sebuah stesen minyak berdekatan.

“Jumpa depan bang. Dekat Petron (stesen minyak). Saya ikut,” ujarnya kepada rider tersebut sambil mengekori dari belakang.

Dalam video yang sama, rider tersebut kelihatan selesai mengisi minyak motosikalnya menggunakan wang yang diberikan oleh Erry.

Namun, timbul rasa kurang senang dalam hati Erry apabila melihat dia hanya mengisi minyak RM1 sahaja, yang mana nilai itu dipercayai kurang daripada jumlah wang telah diberikan.

Dalam cuaca hujan, Erry sekali lagi mendapatkan rider berkenaan untuk mencari kepastian tentang minyak RM1 yang diisi.

“Saya bagi dia duit, tapi isi RM1 saja. Kenapa ya? Abang isi minyak RM1 je ke tadi? Saya bagi duit tadi tak cukup ke apa.

“Abang okay tak? Tadi abang cakap minyak habis kan. Tak kan isi minyak RM1 je bang,” kata Erry kepada lelaki berkenaan.

Menurut rider berkenaan, dia mahu menggunakan baki duit yang disumbangkan untuk membeli lampin pakai buang anaknya.

“Tak ada (bukan macam tu) bang… sebenarnya sudah waktu saya nak balik dah ni. Saya memang (isi minyak) nak balik je.

“Anak saya dekat rumah tak makan lagi bang. Betul bang. Duit yang lebih, saya buat nak beli lampin pakai buang,” ujarnya rider tersebut dalam nada sebak.

Sebak mendengar penjelasan rider tersebut, Erry terus menambah lagi wang sumbangan.

Sebagaimana dirakamkam oleh rakan Erry di dalam kereta, kelihatan rider tersebut mengalirkan air mata kerana gagal menahan sebak.

“Saya bagi tu cuma risau abang tak cukup duit nak isi minyak. Tak kan la sampai abang kena simpan duit tu untuk simpan beli pampers anak. Abang okay tak ni? Ada masalah ke?

“Tak apa, kalau awak nak beli susu anak ke atau makanan saya bagi sikit la. Saya cuma nak kongsi rezeki. Ambil je bang. Bukan saya tolong, tapi Allah tolong.

“Tak apa bang. Jangan menangis bang. Saya pun ada rezeki sikit, saya tolong. Insya-Allah. Abang jangan sedih-sedih bang. Kita hidup ni kena kuat. Lain kali kalau ada rezeki kita jumpa lagi,” ujar Erry.

Video dikongsikan ternyata menyentuh hati warganet yang terharu dengan tindakan Erry.

Rata-rata netizen memuji tindakan lelaki berkenaan yang tidak berkira dan sanggup memberi bantuan kepada rider dalam kesusahan tersebut.

“Masalahnya bukan abang tu je menangis. Aku sekali menangis ni.

“Siapa je tak menangis. Saat kita susah, Allah hantarkan rezeki.

“Gila tak menangis. Hati meronta-ronta fikir anak bini dekat rumah nak makan apa. Bila Allah bagi bantuan tu Ya Allah memang akan menangis semahu-mahunya,” ujar netizen.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*