Bayi perempuan berusia 17 bulan terpaksa menanggung derita apabila rambutnya ditarik oleh seorang guru taman bimbingan kanak-kanak (Taska) di sini selain disumbat makanan secara paksa bulan lalu.
Ibu bayi tersebut, Heng Lee Shuan, 32, mendakwa kejadian malang itu terbongkar selepas bekas guru taska tersebut berkongsi gambar dan video menimpa anaknya pada 28 Mei lalu.
Dakwanya, bekas guru berusia 20-an dipercayai bekerja selama seminggu sahaja di taska terbabit kerana tidak tahan melihat anak-anak kecil diperlakukan secara kasar oleh rakan sekerja.
“Saya sebagai ibu kepada Amber, rasa sangat sakit hati dan kecewa apabila melihat video yang dikongsi oleh bekas guru taska berusia 20-an. Yuran anak saya hampir RM2,000 sebulan.
“Kami ada berbincang bersama pengetua taska namun saya rasa dia tidak jujur malah tiada permohonan maaf dibuat kepada pihak kami.
“Saya juga meminta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) namun yang mereka berikan video yang dah disunting, tidak memaparkan sewaktu kejadian anak dilayan kasar,” dakwanya pada sidang akhbar di Pejabat DAPSY Mahkota Cheras.
Dakwanya, bekas guru terbabit mendakwa rambut anak-anak kecil di taska berkenaan ditarik rambut dan turut menghantar bukti rambut gugur kepada mereka.
Sehubungan itu, mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 29 Mei lalu selepas melihat kesan luka pada hidung anak.
“Sejak menjaga anak sendiri, kami boleh melihat dia akan takut bila tiba waktu makan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam DAPSY, Lee Wen Bin berkata, pihaknya menuntut ibu bapa yang berdepan kes sama untuk membuat laporan polis.
“Bekas guru berkenaan juga telah tampil membuat laporan polis pada Jumaat lalu kerana diugut oleh pengetua taska,” dakwanya.
Baca juga :
Leave a Reply