Bukti sulit ‘bocor’ : Polis buru ‘dalang’ sebar video Faisal Halim disimbah asid

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa membabitkan insiden simbah asid bintang Selangor FC dan skuad Harimau Malaya, Faisal Halim pada 5 Mei lepas kini tersebar di media sosial sejak Khamis.

Hasil perkongsian OneFootball.my di laman X (Twitter), insiden yang berlaku dekat salah sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Selangor menyaksikan Faisal disimbah asid oleh lelaki bertopeng dari jarak dekat.

Dalam rakaman tersebut, dapat dilihat dengan jelas suspek berjalan mengekori Faisal sebelum menyimbahnya asid ke arah pemain itu di depan isterinya dan kemudiannya melarikan diri dengan membonceng motosikal.

Begitupun berdasarkan komen di media sosial, ramai yang mempersoalkan kesahihan sama ada ia CCTV insiden membabitkan Faisal ataupun sebaliknya.

Pada masa sama, kehadiran seorang saksi penting iaitu lelaki botak sambil merokok yang berada berhampiran suspek dalam CCTV berkenaan juga mengundang tanda tanya netizen sama ada kenyataannya sudah dirakam polis ataupun tidak.

Persoalan itu timbul kerana berdasarkan laporan awal, ia kelihatan kontra dengan rakaman yang tersebar itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan rakaman tersebut adalah dari insiden simbah asid melibatkan Faisal.

Memetik laporan UtusanTV, Hussein berkata pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mencari dalang yang menyebarkan video tersebut sehingga menjadi pengetahuan umum.

Hal ini kerana, video tersebut adalah bahan sulit untuk penyiasatan kes itu.

“Polis akan siasat pihak yang menyebarkan video tersebut.

“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan video tersebut bagi menjaga bahan siasatan serta sensitiviti mangsa dan keluarga,” kata Hussein.

Dalam laporan sebelum ini, Faisal diserang ketika suspek sedang menaiki motosikal dan bukannya seperti di dalam rakaman CCTV yang menunjukkan si pelaku berjalan mengekori pemain itu.

Jenis kereta yang dinyatakan sebelum ini juga berbeza. Sebelum ini Faisal dikatakan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire tetapi di dalam rakaman jelas kelihatan kenderaan jenis lain.

Selain itu, Faisal bukan berada di tempat pemandu, sebaliknya sedang menuju ke arah keretanya dengan berjalan kaki.

Apa yang dilaporkan sebelum jelas berbeza dengan cerita di rakaman CCTV. Jadi, tidak hairan jika ramai yang mempersoal kesahihan video tersebut.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*