Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram anggota Jemaah Islamiyah – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek yang dipercayai berusia 21 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Katanya, polis kemudian menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan.

“Di rumah suspek ada beberapa maklumat berkenaan kumpulan JI, selain banyak ayat al-Quran yang ditampal pada dinding.

“Susulan itu semua lima ahli keluarga suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun yang dipercayai anggota JI, termasuk bapanya berusia 62 tahun ditahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di pekarangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Susulan itu, Razarudin mengarahkan polis mengenal pasti anggota JI di negeri ini bagi siasatan lanjut.

“Kira-kira 20 anggota JI sudah dikenal pasti polis dan tindakan susulan sedang segera dilakukan. Kita sedang siasat motif serangan dan apa agenda JI sebenarnya,” katanya.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota polis yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*