Tindakan seorang bekas penolong penyiasat polis berpangkat sarjan menerima rasuah RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul, dua tahun lalu mengundang padah apabila dia dikenakan hukuman RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Nur Mastisha Maidinsha, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan, yang dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Mahkamah memerintahkan Nur Mastisha dipenjara 40 hari jika gagal membayar denda.
Sebelum menjatuhi hukuman, hakim ini menasihati tertuduh supaya insaf dan berfikir secara mendalam sebelum mengambil tindakan di masa depan.
“Kes ini bukan sahaja memberi kesan kepada tertuduh, malah anak kamu yang masih kecil,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Nur Mastisha didakwa menerima wang RM6,000 daripada seorang lelaki, yang mana tertuduh mengetahui bahawa individu itu ada hubungan dengan kerja selaku anggota polis.
Kesalahan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan sebuah stesen minyak di Batu 9, Cheras, pada 1 dan 12 Oktober 2022 lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mengikut fakta, tertuduh mencadangkan untuk menyelesaikan kes tanpa menjalankan siasatan bagi kesalahan mencabul, didakwa dilakukan anak lelaki berkenaan, dengan cara membayar wang.
Semasa prosiding, Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia tidak pernah terbabit dalam kes jenayah, sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis, selama 19 tahun.
“Ini merupakan kes rasuah pertama yang saya hadapinya dan saya anggapnya sebagai ujian.
“Saya perlu menyara dua anak dan menanggung hutang sebanyak RM4,500 setiap bulan, malah saya tidak lagi bertugas sebagai penjawat awam, sekali gus menyukarkan saya untuk mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias berkata, kesalahan rasuah telah menconteng arang ke muka PDRM (Polis Diraja Malaysia), selain merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan penguatkuasa itu.
“Lebih-lebih lagi, fakta kes yang diakui, tertuduh memperoleh wang suapan untuk dirinya supaya tidak mengambil tindakan ke atas suspek jenayah seksual,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply