“Kita jumpa ‘last’ dah ni” Rasa pelik kakak terhadap adik akhirnya terjawab

KAKAK kepada salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak menyangka permintaan adiknya yang ingin menikmati hidangan berlaukkan ikan masin dan telur goreng menjadi kenangan terakhir bersama allahyarham.

Noryani Tamadun, 50, yang merupakan kakak sulung kepada Pegawai Waran II, Muhammad Faisol, 36, mendedahkan hal tersebut ketika ditemui pihak media di kediamannya di Kampung Tanjung.

Menurut beliau, arwah ada membuat permintaan menu yang diingini kerana mengatakan itu kemungkinan permintaan terakhir dari beliau.

“Dia minta saya masakkan nasi berlaukkan ikan masin dan telur.. ‘last’ dah… takut tak dan (tak sempat)… dalam hati terdetik rasa pelik.. pasaipa (kenapa) tapi tak terluah di mulut ketika itu… kerap sangat dia sebut kali terakhir.

“Selain itu pagi raya, dia ajak ambil gambar bersama kami tiga beradik, seorang lagi adik perempuan saya yang bekerja polis di Pahang belum sampai lagi.

“Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut seorang hilang, kakak balik (polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita.

“Saya pun rasa pelik kenapa dia cakap seorang akan hilang, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa ‘last’ dah ni, hari ini semuanya terjawab,” katanya lagi.

Pencen lagi dua tahun

Menurut beliau lagi, adik bongsu dari empat beradik itu sangat rapat dengan semua adik-beradik.

Bahkan ketika pulang bercuti selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, Allahyarham sempat meminta kuih siput kegemaran untuk dibawa pulang ke Sabah.

Adiknya itu dikatakan pulang awal seminggu ke Kedah untuk beraya dan bertolak pulang semula ke Sabah pada hari raya kedua untuk bertugas.

“Dia sudah menetap di Sabah kira-kira dua tahun dan dijangka balik bertugas di Perak Disember ini. Malah, arwah ada cakap akan pencen lagi dua tahun dan mahu pulang ke kampung untuk menguruskan rumah peninggalan arwah emak di Kampung Tanah Hitam untuk dijadikan inap desa.

“Dia memang minat tentera laut… selepas Tingkatan Lima, hanya sempat masuk sekejap Tingkatan Enam dan terus terima tawaran tentera laut,” katanya.

Jelas Noryani, adiknya ada memaklumkan terlibat latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, selain meminta mereka sekeluarga untuk hadir, namun ditolak sebab jarak yang jauh.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*