Telor cukup, minyak masak tak naik harga, Fuziah selar ‘spekulasi bahaya’

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan khabar angin kononnya harga minyak masak akan naik mulai bulan ini.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya tidak ada membuat sebarang kenyataan atau pengumuman mengenai perkara itu.

“Tidak ada. Kita tidak ada buat pengumuman,” katanya.

Katanya, minyak masak botol telah ditetapkan harga maksimum, seperti botol 5kg yang ditetapkan dengan RM30.90.

Dia juga menyifatkan dakwaan itu sebagai “spekulasi yang bahaya”.

“Kenapa peniaga cakap naik harga? Sebab harga minyak sawit mentah (CPO) naik harga, jadi mereka (peniaga) buat ramalan yang harga akan naik.

“Ini sangat bahaya kerana apabila mereka buat spekulasi seperti ini, orang akan berebut beli minyak masak dan ketika itu harga betul-betul boleh naik.

“Tak sepatutnya mereka buat kenyataan seperti itu sebelum kementerian membuat kenyataan rasmi,” katanya ketika sidang media di Kuantan.

Terdahulu dia melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2024 di sebuah pasar raya di bandar raya Kuantan, Pahang.

Telur cukup

Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan tiada aduan kekurangan bekalan telur diterima pihaknya sejak awal Ramadan hingga semalam.

Katanya, walaupun permintaan meningkat susulan ramai peniaga bazar Ramadan menggunakan telur untuk membuat kuih dan biskut raya, namun setakat ini bekalan masih lagi stabil.

“Sepanjang bulan Ramadan ini kita adakan Ops Pantau dan data Op Pantau ini kita tengok dari segi bekalan, cuma dari segi harga ada sedikitlah (laporan) tapi itu kes terpencil,” katanya.

Ketika musim perayaan Aidilfitri tahun lalu, pengguna berdepan masalah kekurangan bekalan telur antara 10 hingga 15 peratus.

Isu itu berlaku susulan dakwaan kononnya ramai orang buat kuih dan biskut raya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai Ops Pantau, Fuziah memberitahu RM24,200 kompaun dikutip dan setengah juta rampasan dibuat pasukan penguatkuasaan sejak operasi itu dilancarkan pada 12 Mac lalu.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan adalah harga terlalu mahal, tiada tanda harga dan (paparan) harga mengelirukan,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*