Hanya kerana tumpang untuk menonton TV, kepala budak lelaki disekeh sampai benjol

Tidak lama dahulu, televisyen (TV) di ruang tamu rumah saya rosak. TV itu sudah berusia lebih 10 tahun, tetapi saya percaya kerosakannya tidaklah serius. Ia boleh dibaiki semula.

Saya teringat sikap anak-anak saya sewaktu mereka membesar dahulu. Pulang dari sekolah, terus terkam TV, kemudian makan tengah hari depan TV. Petang, selepas penat bermain sejurus pulang dari sekolah agama, tonton TV lagi. TV, TV, TV…

Hobi ini sebenarnya menyusahkan saya kerana ketika itu sudah Maghrib, sedangkan ketika itulah saluran TV kita menayangkan cerita-cerita kartun seperti Doraemon, Detektif Conan, Shin Chan dan Digimon.

Disebabkan ralit menonton, sering kali anak-anak saya tidak mandi petang. Itu tidak mengapa lagi. Paling menyakitkan hati ialah mereka susah hendak dipanggil mengaji dan sembahyang kerana sayang hendak meninggalkan cerita-cerita kartun tadi.

Hobi ini bertambah serius pada hari-hari cuti sekolah. Ada kalanya mereka menonton hingga lewat malam. Ketagihan menonton TV ini cukup susah dibendung. Biarpun saya cuba menghentikannya secara kekerasan, tetapi tidak berhasil. Kalau secara lembut, lagilah sia-sia. Akibatnya, saya menghentikan langganan saluran TV berbayar yang beroperasi 24 jam.

,Sesungguhnya TV adalah salah satu bentuk hiburan untuk anak-anak kita. Cuma pada zaman dahulu TV adalah barang mewah, tetapi sekarang, ia hanyalah barangan keperluan sahaja. Kini setiap rumah pasti ada TV, malah ada yang memiliki TV sebesar kereta!

Kegilaan kepada TV ini mengingatkan saya kepada seorang lelaki yang pernah saya temui suatu ketika dahulu. Kenalan ini seorang remiser saham. Dia lahir dalam sebuah keluarga miskin sekitar pertengahan tahun 60-an itu. Zaman itu, hanya orang kaya sahaja yang mampu memiliki TV.

Oleh kerana itu, dia setiap hari pergi ke rumah jirannya untuk tumpang menonton TV. Kadang-kadang, kenalan saya ini terpaksa duduk di luar dan menonton dari tingkap.

Bagaimanapun, anak-anak jirannya tidak suka dia datang menonton. Maka, KLEKOK!… mereka sekeh-sekeh kepalanya. Apabila tiada sesiapa yang melihat, KLEKOK! KLEKOK! KLEKOK!… budak itu akan menyekeh kepalanya sehingga benjol.

Anak jirannya itu juga mencubit badannya hingga lebam dan mengelupas kulit. Tetapi disebabkan sukanya dia menonton TV, kenalan saya itu mendiamkan diri walaupun kepala benjol-benjol dan badannya lebam-lebam dicubit.

Setiap hari selepas sekolah dia akan datang ke rumah tersebut, termasuk pada waktu malam. Ada kalanya dia berlari dalam hujan dan berdiri di luar rumah jirannya dalam guruh dan petir semata-mata kerana TV. Malah, kenalan saya ini sanggup dibuli oleh anak jirannya tadi dan dibelasah neneknya dengan rotan asalkan dibenar menonton cerita Ultraman.

Hanya kerana tumpang untuk menonton TV, kepala budak lelaki disekeh sampai benjol

Awal 1970-an, barulah bapanya membeli TV hitam putih. Ketika itu dia berasa tersangat gembira, seolah-olah dunia ini dia yang punya. Sebelum menonton, kenalan saya ini akan memakai pakaian yang cantik-cantik dan mengambil sebiji epal. Epal itu akan dikunyahnya perlahan-lahan hingga habis rancangan yang ditontonnya itu.

TV telah mengubahnya menjadi seorang yang yakin pada diri sendiri. Oleh kerana nostalgia itu, dan kerana merasai betapa bernilainya TV dalam hidupnya, apabila sudah bekerja dan berkeluarga, kenalan saya tadi telah membeli dua buah TV besar lengkap dengan sistem teater rumah.

“Saya beli ini semua untuk anak-anak saya. Saya tak mau mereka jadi macam saya dulu,” kata kenalan saya itu.

Ya, anak-anak generasi X, Y, Z dan zaman sekarang tidak lagi merasa betapa sukarnya mendapat sesuatu. Mereka tidak dapat membayangkan betapa berharganya TV itu, seperti mana yang ibu bapa mereka alami dahulu.

Barang Mewah

TV juga adalah barang mewah kepada kami, suatu ketika dahulu. Pada awal 1970-an, di kampung saya yang penduduknya menoreh getah, hanya ada empat lima orang sahaja yang memiliki TV. Keluarga kami tidak memilikinya kerana bapa saya tidak berkemampuan.

Untuk menonton TV, kami – maksud saya adik-beradik dan jiran-jiran – tumpang menontonnya di sebuah rumah pemandu teksi. Rumahnya terletak 300 meter dari rumah saya.

Seingat saya, itu antara rumah pertama mempunyai TV di tempat kami. Tetapi disebabkan terlalu ramai orang yang ingin menonton, siapa yang lambat terpaksa duduk di luar berasak-asak.

Mereka hanya dapat menonton dari ruang tingkap yang sengaja dibuka luas. TV itu hitam putih. Begitu juga dengan rumah-rumah lain. Cerita yang paling disukai ialah Ultraman.

Tidak lama kemudian, seorang lagi jiran membeli peti TV. Dia seorang peniaga kedai runcit. Saya pergi tumpang menonton di situ pula, berjalan kaki dengan abang dan kakak menonton hingga terlelap.

Rancangan kegemaran ketika itu ialah gusti, Drama Minggu Ini dan cerita-cerita Melayu seperti Puntianak, Si Tora Harimau Jadian, Pendekar Bujang Lapuk, Mat Bond dan sebagainya.

Lebih setahun kemudian, seorang lagi jiran membeli TV. Tetapi TVnya istimewa. Saiznya lebih besar, sekitar 29 inci, mempunyai kaki dan penutup gelangsar. Saya suka menonton TV ini kerana lebih terang. Tambahan pula, tuan punya TV itu, Wak Kadir namanya, memasang skrin plastik di hadapan TV tersebut.

Skrin plastik itu ada tiga warna. Bahagian atas berjalur lebih kurang enam inci berwarna biru. Di tengah kuning, dan di bahagian bawah, merah. Maka, bertukarlah TV hitam putih itu kepada TV warna! Maksud saya, tiga warna saja!

Ketika itu umur saya sudah mencecah lima enam tahun. Di situlah saya mula kenal pelawak seperti Param, Yusni Jaafar, Yahya Sulong, A.R. Badul dan R. Jaafar.

Di situlah juga saya melihat seorang wanita cantik mencabut bola-bola putih yang digolek-golekkan bersama bola-bola lain, yang pada setiap bola itu mempunyai nombor, dan selepas habis memilih bola berkenaan, akan diumumkan nombor-nombor tersebut, lalu itulah nombor pemenang cabutan loteri kebajikan masyarakat!

Melalui peti TV di rumah Wak Kadir jugalah saya kenal siapa Charlie Chaplin, Harold Lloyd dan Three Stooges, juga kartun Mickey Mouse, Duffy Duck dan burung kepala botak yang entah apa namanya, saya tidak ingat.

Iklan yang paling saya ingat sampai sekarang ialah iklan minuman keras dalam bahasa Tamil. Bunyinya begini: “Gui**** St*** wadelekey, nalladeeeeyyyyy…”

Malam, kami sekali lagi tumpang menonton cerita Six Million Dollar Man lakonan Lee Majors. Cerita manusia superpower yang mata, telinga dan kudratnya mempunyai kuasa bionik ini benar-benar merangsang daya imaginasi saya.

Selepas Six Million Dollar Man, kami terus menonton saya tertidur. Lewat malam, sekitar pukul 11.30, baru pulang. Saya mengesat mata yang pedih, terpisat-pisat mencari selipar daripada sekian banyak selipar yang ada, kemudian berjalan terhuyung-hayang untuk balik ke rumah, kira-kira 150 meter dari situ.

Pada 1970-an, di kampung saya tiada bekalan elektrik. Maka TV-TV yang saya tonton tadi kuasanya dibekalkan oleh bateri basah, iaitu bateri kereta. Menonton TV ketika itu memang ‘berisiko’ dan menyakitkan hati. Ini kerana, ketika kita sedang sedap-sedap menonton, tiba-tiba bateri itu kesusutan kuasanya. Lalu muncullah garisan panjang di bahagian atas skrin TV.

Lima atau 10 minit kemudian, muncul satu lagi garisan putih, menjadi dua. Gambar semakin pipih. Kemudian muncul garisan yang ketiga, dan suara Lee Majors kian perlahan. Satu demi satu garisan muncul, gambar semakin kecil dan pipih, suara jadi perlahan dan seterusnya… PLUP! Terus padam. Aduh, tension betul.

“Bateri habis, nak kena cas. Esok datang semula, ya,” kata Wak Kadir.

Bateri itu dicas di kedai seorang Cina di sebuah pekan kecil kira-kira lima kilometer dari tempat kami. Sekali cas, seringgit. Setiap lubang dalam bateri itu diisi dengan air berasid, dan dicas selama kira-kira enam jam. Apabila air yang diisi tadi mendidih dan bateri menjadi panas, itu petanda cas sudah penuh. Sebiji bateri biasanya tahan selama seminggu.

Bapa saya hanya membeli TV pada pertengahan 1970-an, hitam putih, jenama Singer dan berfungsi dengan bekalan kuasa bateri basah juga. Ia hanya sebuah TV 14 inci, dibeli secara hutang bulanan.

Saya masih ingat, apabila TV itu sampai, kami sekeluarga sangat gembira. Kawan-kawan datang bertanya, betulkah bapa saya beli TV? Mana TVnya? Saya menjawab dengan megah, “Ya! Abah aku beli TV baruuuuu!” Lalu saya tunjukkanTV hitam putih, bersaiz 14 inci dan dibeli secara hutang itu.

Malam, jiran-jiran yang masih belum mempunyai TV pula datang tumpang menonton di rumah saya. Ketika itu cerita yang paling diminati ialah Combat, lakonan Ric Jason dan Vic Morrow, Bionic Women lakonan Lindsay Wagner, Invisible Man, Lone Rangers dan Drama Minggu Ini.

Begitulah seronoknya menonton TV 40-50 tahun lalu, ketika semua rumah hanya diterangi oleh pelita minyak tanah dan hidup serba seadanya. Walaupun ketika itu hanya ada dua saluran TV saja, hitam putih pula, tapi kita rasakan itulah hiburan yang paling menyeronokkan. Bagi kita juga, siri-siri TV yang ada sekarang belum mampu menandingi siri-siri TV dahulu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*