Firasat seorang pemandu mengenai nasib bakal menimpa sebuah konvoi motosikal yang menunggang secara berbahaya bertukar menjadi kenyataan selepas kumpulan terbabit terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) berdekatan Lanchang, Pahang, pada Jumaat.
Insiden berkenaan dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang memaparkan detik-detik sebelum berlakunya nahas berkenaan.
Menurut Saifful Hishyam, pada awalnya, dia menyedari mengenai kehadiran konvoi tersebut ketika melalui Tol Karak.
Pada ketika itu, dia berkata, kumpulan berkenaan dilihat berkumpul di lokasi tersebut dipercayai untuk berlumba.
“Janganlah sia-siakan nyawa macam ni. Dekat tol Karak mereka dah kumpul…Betul-betul lepas tol…the race begins (perlumbaan bermula). Aku nak laju tak boleh. Nak slow nanti takut diorang langgar pulak,” tulisnya.
Risau dengan keselamatannya, Saifful Hishyam berkata, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berehat di Hentian Lanchang untuk menunggu kumpulan terbabit lepas daripada lebuh raya berkenaan.
Namun, sebaik kembali meneruskan perjalanannya, katanya, terdapat segelintir daripada kelompok konvoi penunggang terbabit yang baru sahaja melalui kawasan berkenaan.
Katanya, kumpulan tersebut juga menunggang secara laju dan berbahaya dengan ada antara mereka yang masuk ke lorong kanan.
“Dia potong kiri ikut susur keluar dari Hentian Lanchang, mungkin bagi laluan aku nak masuk sebab aku dah bagi signal ke kanan. Masa dia sailang depan aku masuk ke lorong kanan tu, lepas tu sailang lagi depan Toyota Hilux, aku dah tak sedap hati.
“Terdetik dalam hati aku, ‘ish…berlanggar juga dengan Hilux budak ni nanti. Aku pun maintain slow sahaja sebab terasa tak sedap.
“Naik sahaja bukit lepas Hentian Lanchang tu, nampak double signal lori dari jauh kat depan sana,” katanya yang kemudiannya melalui lokasi kemalangan kumpulan terbabit.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 53 saat itu, terdapat sekurang-kurangnya dua penunggang motosikal dilaporkan tercampak di atas jalan raya akibat insiden tersebut.
Malah, salah seorang daripadanya dilihat terbaring tidak bergerak di tengah-tengah lebuh raya berkenaan.
Sementara itu, terdapat sekurang-kurangnya sebuah kenderaan didapati turut terbabit dalam kemalangan itu yang dipercayai berlaku sekitar pukul 12.25 tengah malam Jumaat.
Status kedua-dua penunggang yang terlibat ketika insiden berkenaan bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Difahamkan, pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
Turut baca :
Leave a Reply