URUSAN pengebumian merupakan suatu perkara yang dianggap sebagai kecemasan.
Justeru tidak hairanlah ada kenderaan yang membawa jenazah menggunakan lampu kecemasan atau siren, memberi isyarat supaya pengguna jalan raya boleh memberikan laluan.
Namun kecoh di media sosial apabila seorang lelaki menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sebuah van jenazah yang dipandu laju di sebuah lebuh raya.
“Kalut-kalut nak pergi mana? Orang tu sudah tiada.
“Bawa elok-elok. Kau nak pergi mana? Yang dah pergi tu dah tiada apa yang kalut lagi,” tulisnya menerusi video yang dimuat naiknya di laman sosial.
Namun, tarikh dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan.
Teguran pelayar itu bagaimanapun mengundang padah apabila ruangan komen dihujani kritikan netizen yang menyifatkannya tidak sensitif terhadap pengurusan jenazah.
Ini kerana, dalam kehidupan ini terdapat tiga perkara atau amalan yang harus disegerakan apabila tiba masanya iaitu solat jika telah masuk waktu, mengahwini anak perempuan yang sudah baligh dan pengurusan jenazah.
“Tak ada istilah kalut, menyegerakan urusan tu.
“Kita tak tahu jenazah tu dari mana nak ke mana. Urusan jenazah memang perlu disegerakan.
“Cuba fikir positif, mungkin perjalanan mereka jauh. Kita tak tahu, jangan nak menuduh. Setiap urusan orang berbeza, semoga arwah tenang di sana,” komen netizen.
Pada masa sama, segelintir netizen turut meninggalkan komen berbaur sindiran.
“Segerakan urusan, kau tak kan tak pernah dengar?
“Masa pakcik nanti (meninggal dunia), biar saya yang jadi pemandu (van jenazah). Kita lepak tengok pemandangan dekat Bukit Ampang dulu tengok matahari terbenam,” ujarnya.
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi Maktabah Al-Bakri yang mengupas soal jawab mengenai agama, jenazah adalah disyorkan disegerakan untuk pengebumian.
Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
“Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadis di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan.
“Justeru, perbuatan yang terbaik adalah kita segerakan kecuali tempoh yang tidak lama untuk menunggu. Oleh itu, segerakanlah.
“Setelah itu, bagi mereka yang datang selepas itu, maka bolehlah pergi ke perkuburan untuk melakukan solat jenazah dan mendoakan untuk si mati,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply