Ugut bunuh Nik Elin : Tiga pemilik akaun media sosial sudah dikenalpasti

Tiga pemilik akaun media sosial sudah dikenalpasti polis kerana disyaki mengugut peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar peruntukan dalam enakmen jenayah syariah, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid.

Allaudeen berkata tiga kertas siasatan dibuka berkait kes itu selepas pihaknya menerima tiga laporan polis, lapor Sinar Harian.

Katanya, satu kertas siasatan kes itu sudah diserah kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.

“Pada tahun lalu, Nik Elin buat tiga laporan, kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada dengan (dirujuk kepada) pendakwa raya beberapa minggu lalu.

“Dua lagi (laporan) masih dalam siasatan dan kita akan lengkapkan dalam terdekat dan serahkan kepada pendakwa raya,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Nik Elin Zurina pada Sabtu lalu mendedahkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya memfailkan petisyen mencabar 18 perkara dalam enakmen berkenaan.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu membuat keputusan memihak petisyen difailkan Nik Elin untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan, dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Sidang sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa Dewan Undangan Negeri tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman berkata kes itu tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah, kerana isu yang perlu diputuskan ialah sama ada badan perundangan Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan atau sebaliknya.

Sejurus keputusan diumumkan, pelbagai pihak memberi maklum balas antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang melabel keputusan itu sebagai “Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*