Dua maut dalam kemalangan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Medan Masria susur ke Lebuhraya Grand Saga di Kajang semalam.
Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, kemalangan pada 4.45 petang itu membabitkan sebuah lori dengan empat kereta.
“Siasatan mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Batu 9.
“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Medan Masria, lori terbabit disyaki mengalami masalah brek dan melanggar empat kenderaan di depannya sebelum terbabas ke lereng bukit di susur ke Lebuhraya Grand Saga,” katanya
Menurutnya, nahas itu menyebabkan pemandu Proton Saga meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang penumpang kereta yang parah meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Beliau berkata, dua mangsa korban itu masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 50-an serta 60-an.
Katanya, tiga pemandu kenderaan lain tidak cedera, sementara pemandu lori 40-an itu cedera ringan dan ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.”
Kemalangan itu tular susulan rakaman kamera litar tertutup dari sebuah premis dekat lokasi kejadian dimuat naik ke media sosial sejak semalam.
Turut baca :
Leave a Reply