Gagal menimbulkan keraguan munasabah, wanita jual bayi dipenjara 5 tahun, denda RM90,000

Gagal menimbulkan keraguan munasabah, wanita jual bayi dipenjara 5 tahun, denda RM90,000.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM90,000 terhadap seorang bekas pembantu tadbir sebuah maktab atas dua pertuduhan memperdagangkan bayi 13 bulan serta memalsukan dokumen kelahiran pada 2020.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Faizan Ahmad Asri, 40, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, tetapi mengarahkan tertuduh membayar denda hari ini.

Azura dalam penghakimannya berkata, berlaku pemindahan milikan antara ibu kandung bayi dan seorang saksi yang membuktikan inti pati kes bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Katanya, pembelaan tertuduh bahawa pemindahan milikan bayi itu bagi membantu ibu kandung terbabit dan tidak membabitkan wang sekadar penafian.

“Penafian tertuduh tidak mengetahui isi kandungan sampul surat mengandungi dokumen palsu untuk mendaftar kelahiran bayi itu juga penafian semata-mata,” katanya menurut Harian Metro.

Tertuduh didakwa memperdagangkan bayi lelaki 13 bulan bagi maksud eksploitasi menyalahi undang-undang, iaitu pemindahan milikan kanak-kanak itu dengan pertukaran wang di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama pada 5 petang 5 Nov 2020.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara minimum tiga tahun atau maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia secara palsu menggunakan Borang Daftar Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) LM01 bersama lampiran atas nama bayi itu, yang mana mempercayai dokumen palsu di JPN Kuala Lumpur pada 10.30 pagi November 2020.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan kes itu bermula 1 Sept 2022 dengan 13 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*