Anggota polis ‘bernafsu kuda’ rogol remaja dalam kereta peronda berdepan empat pertuduhan jenayah

Anggota polis ‘bernafsu kuda’ rogol remaja dalam kereta peronda berdepan empat pertuduhan jenayah.

Seorang anggota polis berdepan empat pertuduhan jenayah termasuk membabitkan kes merogol seorang gadis bawah umur dalam kejadian pada awal bulan ini.

Lans Koperal Muhammad Fazrul Razzi didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di dalam kereta peronda di Ampang kira-kira 10.30 malam, 9 Jan lalu.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376(1) dan 377CA Kanun Keseksaan.

Penjawat awam berusia 31 tahun itu juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Fazrul juga didakwa melakukan serangan fizikal seksual terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan Fazrul boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377CA.

Dia juga boleh dipenjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 377C.

Bapa kepada satu anak yang sudah berkahwin itu juga berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat atas kesalahan Seksyen 14(a).

Tuduhan memeras ugut

Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin membenarkan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, dan memerintahkan dia tidak bercakap dengan mangsa.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Ampang, Fazrul bersama seorang lagi anggota polis, Konstabel Adib Aikal Shahrul Nizam, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memeras ugut teman lelaki remaja terbabit – yang juga berumur 17 – supaya membayar mereka RM500.

Kedua-duanya dituduh mengugut remaja lelaki itu untuk menyebarkan video pasangan bawah umur berkenaan bercium jika bayaran berkenaan tidak dibuat.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam kawasan Ampang kira-kira jam 10.09 malam pada hari kejadian serangan seksual terhadap remaja perempuan terbabit.

Kedua-dua mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika didapati bersalah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam G Visvanathan Nair dan Kee Wei Lon.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*